suria

UniMAP Hasrat Jadi Pusat Rujukan Dunia Bagi Industri Walit

KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berhasrat menjadi pusat rujukan dunia bagi kegiatan pembangunan industri sarang burung walit, kata Naib Canselornya Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin, Selasa.

Katanya sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan dibangunkan di Sungai Chuchoh dalam tempoh terdekat bagi memastikan kajian mengenai tabiat burung berkenaan yang disifatkan sebagai penyumbang ekonomi yang lumayan.

Bercakap kepada pemberita selepas memberi ucapan kepada 1,642 pelajar baru universiti itu di sini Selasa, beliau berkata, hasil kajian itu akan disalurkan kepada usahawan untuk membangunkan industri sarang burung walit.

"Walaupun sarang burung walit memberi pendapatan besar kepada pengusahanya, ada antara mereka yang gagal," katanya.

Kamarudin berkata hanya sekitar 30 peratus pengusaha burung walit yang benar-benar berjaya dalam industri itu manakala selebihnya masih mencari ruang untuk memastikan mereka mampu bersaing dalam industri yang kian berkembang itu.

"Kami akan menggunakan kepakaran yang ada untuk membantu usahawan itu termasuk menjalin kerjasama dengan alumni UniMAP yang kini telah berjaya dalam bidang ini," katanya.

Beliau berkata sarang burung walit berwarna putih yang terdapat di Perlis adalah antara yang terbaik di dunia dan penyelidik universiti itu sedang memulakan langkah penyelidikan mereka.

Kamarudin berkata, selain membangunkan R&D di Sungai Chuchoh, UniMAP juga secara bersama dengan seorang bekas pelajarnya yang kini merupakan seorang usahawan sarang burung walit yang berjaya, akan membangunkan kemudahan R&D di kawasan industri itu di Air Hitam, Kedah.

Berdasarkan pasaran semasa, sarang burung walit keluaran usahawan tempatan kini sekitar RM4,000 sekilogram.

Sebelum itu ketika berucap kepada pelajar baru UniMAP, Kamarudin mengingatkan mereka supaya tidak mudah terpengaruh dengan kumpulan yang berkecenderungan menimbulkan kekacauan.

"Sejak kebelakangan ini terdapat pihak tertentu yang mencari jalan menggugat ketenteraman awam dan menjadikan golongan pelajar universiti sebagai tunggangan mereka bagi mencapai agenda peribadi mereka," katanaya. - BERNAMA

Artikel Lain