suria

UM Disenaraikan Antara Terbaik Dunia Oleh Universiti Shanghai Jiao Tong

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) buat julung kalinya disenaraikan antara 500 Universiti Terbaik Dunia oleh Universiti Shanghai Jiao Tong tahun ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Arshad Ayub berkata, penyenaraian itu berdasarkan kepada jumlah penerbitan jurnal dalam pangkalan data indeks jurnal Information Sciences Institute (ISI), mendapatkan perkhidmatan pensyarah antarabangsa dan kemasukan pelajar antarabangsa di universiti itu.

Beliau berkata, senarai yang dikeluarkan Universiti Shanghai Jiao Tong berbeza dengan senarai Quacquarelli Symonds (QS) World Universiti Ranking di mana UM menduduki tempat ke-167.

Arshad menjelaskan kedudukan UM dalam senarai Universiti Shanghai Jiao Tong boleh ditingkatkan jika ia menggunakan khidmat profesional yang menerima anugerah Nobel, namun, pada masa ini UM belum menggunakannya lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Haluan Siswa di UM, Selasa.

Antara universiti lain yang disenaraikan oleh Universiti Shanghai Jiao Tong ialah Universiti Kaherah di Mesir; Universiti Zagreb di Croatia dan Universiti Wollongong di Australia, manakala Universiti Harvard berada di tempat pertama.

"Kejayaan UM disenaraikan dalam kedudukan itu dapat memastikan sistem pengajian tinggi negara ini diterima dan seterusnya setaraf dengan sistem pengajian tinggi antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UM Tan Sri Dr Ghauth Jasmon berkata lebih ramai pelajar akan mengikuti pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) pada semester 2011/2012 selepas universiti itu melonggarkan syarat kemasukan dengan minimum 3.3 Purata Mata Gred Kumulatif (CGPA).

"Bagi pelajar yang mempunyai pengalaman dalam bidang pengajian yang akan diambil, syarat kelayakan pemohon adalah yang mempunyai pencapaian CGPA minimum 3.0," katanya.

Bagi semester 2011/2012, seramai 11,000 penuntut mengikuti pengajian peringkat sarjana dan PhD manakala dan 16,000 pelajar mengikuti pengajian peringkat sarjana muda di UM, dengan kira-kira 4,000 orang daripada jumlah keseluruhan itu adalah pelajar antarabangsa. - BERNAMA

Artikel Lain