suria

AKEPT Cungkil Bakat Di Kalangan Akademia Muda

NILAI: Program kepemimpinan kini menjadi satu program penting Kementerian Pengajian Tinggi dalam menguruskan bakat di kalangan akademia muda dalam Institusi Pengajian Tinggi (IPT), kata menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya, melalui kepemimpinan yang diterapkan, akademia muda mampu mengharungi cabaran semasa dan mendatang.

"Ini sekaligus melahirkan seorang ahli akademik berwibawa dan tersohor yang akhirnya menyumbang secara kritikal kepada pembangunan modan insan di negara ini," katanya pada pelancaran program pemimpin muda di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) dekat sini, Isnin.

Katanya, AKEPT mampu menjadi pelantar yang menawarkan kepakaran bukan sahaja untuk keperluan negara, malah sebaliknya membangunkan kepemimpinan akademia di peringkat global, sama ada di rantau Asia Tenggara, mahu pun Asia.

Ini sekaligus mampu melonjakkan Malaysia tidak semata-mata sebagai hab pengajian tinggi, tetapi juga hab kepemimpinan pengajian tinggi serantau yang disegani, katanya.

Beliau menambah, program pemimpin muda anjuran AKEPT merupakan kesinambungan daripada program kepimpinan kreatif dan inovatif akademia muda yang dilancarkan pada Disember tahun lepas dan setakat ini berjaya melatih 800 pensyarah muda.

"Seperti yang kita sedia maklum, sektor pengajian tinggi adalah antara sektor kritikal dalam menjayakan program transformasi negara.

"Sehubungan itu, kita perlu memastikan untuk bukan sahaja mampu melahirkan modal insan yang unggul di negara ini, tetapi yang lebih penting, modal insan berkualiti tinggi, pemangkin terhadap kecemerlangan dan bersedia menjadi model contoh dan ikon yang mampu mencetus pemikiran kreatif dan inovatif kepada para pelajar dan masyarakat," katanya.

Mohamed Khaled menambah, terdapat seramai 25,941 orang tenaga akademik sedang berkhidmat di 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), meliputi jawatan profesor, profesor madya, pensyarah kanan dan pensyarah.

"Saya percaya, daripada jumlah tersebut, sebahagian besarnya merupakan ahli akademik muda yang mempunyai peranan sangat kritikal khususnya dalam konteks kepemimpinan universiti," katanya.

Artikel Lain