suria

Petronas, UMS Jalin Usahasama Lahirkan Graduan Berkualiti Dalam Sektor Minyak Dan Gas

KOTA KINABALU: Sabah yang merupakan antara penyumbang utama minyak dan gas negara, berpotensi besar menjadi antara kuasa ekonomi utama dalam negara berdasarkan rizab minyak dan gasnya.

Dekan Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Rosalam Sarbatly berkata pembangunan industri minyak dan gas di Sabah berkembang perlahan, memandangkan bilangan pakar dan tenaga terlatihnya yang terhad.

Rosalam berkata inilah sebab utama hubungan rapat perlu diwujudkan antara Petronas dan UMS bagi melengkapkan kekuatan masing-masing.

Beliau berkata kepakaran dan keupayaan praktikal Petronas serta program akademik UMS yang padu, akan menyumbang kepada pertumbuhan rangkaian nilai yang tinggi dalam industri minyak dan gas.

"UMS boleh melahirkan modal insan terlatih yang diperlukan untuk pelbagai aktiviti Petronas seperti penerokaan, pengeluaran dan operasi huluan, dan Petronas pula menyediakan tempat untuk pelajar mendalami cabaran sebenar industri itu.

"Selain itu, kepakaran dan keupayaan amali pegawai Petronas juga diperlukan untuk membantu memperkukuh program menerusi syarahan industri dan pertukaran pegawai," katanya.

"Sabah menyumbang lebih daripada satu perempat keluaran minyak mentah dan gas negara, menyediakan keperluan tenaga yang diperlukan negeri itu. Di sinilah Petronas boleh memain peranan dengan meluaskan sokongan dalam menguasai kekayaan baharu menerusi latihan kepada graduan kejuruteraan serta teknokrat dalam bidang kejuruteraan minyak dan gas.

"Memang selama ini Petronas menyokong penuntut Sabah, terutama membabitkan pengajian dalam negara dan seberang laut sebagai tanggungjawab sosial korporatnya (CSR), namun pembangunan sumber manusia dalam bidang ini wajar dilihat melepasi CSR," katanya kepada Bernama di sini.

Rosalam berkata setelah mengenal pasti potensi minyak dan gas di rantau ini, UMS berpendapat bahawa isu sumber manusia, peringkat tinggi dan rendah, untuk operasi huluan dan hiliran.

Memandangkan UMS mempunyai kapasiti untuk melatih modan insan menerusi Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat (SKTM), Ijazah Sarjana Kejuruteraan Minyak dan Gas turut diperkenalkan, katanya.

UMS ialah institusi pendidikan tinggi tempatan pertama yang menawarkan program Ijazah Sarjana Kejuruteraan Minyak dan Gas, dan program 18 bulan itu bermula September ini, sekaligus meletakkan UMS sebagai institusi keempat di dunia yang menawarkan program itu selepas Amerika Syarikat, Brazil dan Scotland.

Beliau berkata program itu bermatlamat menyediakan kumpulan graduan berkualiti dan berkemahiran tinggi untuk memenuhi kehendak sektor minyak dan gas yang tinggi.

Sementara itu, Petronas kini membina Pusat Latihan Kimanis yang dijangka siap menjelang 2013. Dalam tempoh pembinaan itu, Petronas memulakan latihan kumpulan pertama 25 penuntut di Membakut sejak Julai.

Awal tahun ini, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman memuji keputusan Petronas membangunkan pusat latihan itu.

Beliau berkata pusat minyak dan gas itu merupakan impian rakyat Sabah, terutama di Kimanis, memandangkan ia akan menyediakan peluang pengajian dalam bidang itu di Sabah.

Musa juga berkata Sabah bertuah memandangkan Petronas sudah bertapak di sini dan memastikan sumber semula jadi sangat bernilai itu diurus dengan cara yang bertanggungjawab oleh semua rakyat Malaysia, termasuk Sabah.

Industri minyak dan gas adalah antara penyumbang utama ekonomi negeri itu, dan pada 2010, Sabah menyumbang 26.9 peratus daripada pengeluaran minyak mentah negara. Industri minyak dan gas berpotensi berkembang lebih pesat pada masa depan, terutama dengan adanya sokongan sumber manusia yang berpengetahuan.

Selain Pusat Latihan Kimanis, program latihan Petronas menerusi Instep, akan memacu golongan muda memenuhi keperluan sumber manusia untuk industri itu.

Sejak program itu diperkenal pada 1988, lebih 7,000 pelajar lulus, termasuk hampir 700 dari Sabah. Majoriri daripadanya kini bekerja dengan Petronas serta syarikat minyak dan gas yang lain. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain