suria

IPTA & IPTS Perlu Kerjasama Dalam Capai Objektif - Menteri

PUTRAJAYA: Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS) perlu menyahut cabaran untuk bekerjasama dalam usaha untuk mencapai semua yang dirancang di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama itu adalah penting bagi menjayakan projek penggerak ekonomi (EPP-10) iaitu Membangunkan Kelompok Disiplin Hospitaliti dan Pelancongan.

Berucap semasa pelancaran Kempen Kesedaran Kebangsaan EPP-10 bersama Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen di sini, Khamis, Mohamed Khaled berkata peranan institusi swasta dalam menerajui inovasi dan pemacu pertumbuhan dalam industri itu amat penting.

"Kami melihat sektor pendidikan swasta sebagai pemangkin bagi transformasi industri dan sebagai rakan dalam usaha kerajaan meningkatkan kualiti serta mencipta jenama bagi pendidikan tinggi antarabangsa di Malaysia," katanya.

Beliau juga bangga bahawa University UCSI memainkan peranan utama dalam memacukan insiatif dalam projek pendidikan EPP-10 di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Khaled berkata, dengan mendokong EPP, University UCSI bersama dengan Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelancongan dan Kementerian Sumber Manusia dan pemimpin industri utama, berusaha menggubal model kerja yang berinovatif dan meletakkan asas yang kukuh untuk membangunkan modal insan di negara ini.

Katanya, University USCI juga melancarkan Pusat Kecemerlangan Pelancongan dan Pendidikan Hospitaliti bagi menampung permintaan tinggi pekerja berkemahiran yang boleh menyokong pertumbuhan atasan industri pelancongan.

Sementara itu, Dr Ng berkata kerjaya dalam bidang pelancongan dan hospitaliti bukan merupakan pilihan kebanyakan graduan akibat persepsi buruk sesetengah pihak kepada sektor itu sendiri.

"Saya berharap lebih ramai graduan akan menceburkan diri dalam bidang ini dan kempen untuk menggalakkan graduan menceburinya perlu dipergiatkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain