suria

4,436 Calon IPTA Memilih Untuk Tidak Dipertimbangkan Untuk Pengajian Lain

KUALA LUMPUR: Sejumlah 4,436 lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf bagi 2010 daripada jumlah keseluruhan 53,216 pelajar yang memohon bagi kemasukan ke institusi pengajian tempatan awam (IPTA) sesi 2011/2012, tidak akan dipertimbangkan tawaran ke program pengajian lain sekiranya mereka gagal mendapat tempat di kesemua lapan pilihan utama, walaupun mereka layak.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira keputusan pemohon sendiri ketika mengemukakan permohonan menerusi borang Unit Pusat Universiti (UPU).

"Prosedur permohonan membenarkan calon menyatakan persetujuan memilih sama ada bersetuju atau tidak untuk menerima tawaran selain daripada lapan pilihan program yang dimohon.

"Jika calon ada menyatakan persetujuan untuk menerima tawaran selain daripada lapan pilihan semasa mengemukakan permohonan, maka calon akan dipertimbangkan ke program pengajian di IPTA yang masih ada kekosongan selaras dengan bidang pengajian yang dipohon tanpa mengira IPTA pilihan," katanya dalam satu kenyataan.

Bagi calon yang memilih untuk tidak bersetuju, katanya kementerian tidak akan mempertimbangkan untuk menawarkannya program yang lain walaupun mereka layak berdasarkan merit yang tinggi.

Selain itu, beliau berkata semua permohonan rayuan hanya akan dipertimbangkan bagi mengisi kekosongan tempat yang ada selepas pendaftaran pelajar baru pada awal September sahaja.

Sebarang pertanyaan boleh dibuat ke Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi di 03-8870 6000 atau faks ke 03-8870 6834 atau e-mel ke upu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain