suria

OUM Dan Yayasan Guru Malaysia Berhad Meterai MoU

KUALA LUMPUR: Universiti Terbuka Malaysia (OUM) pada Isnin memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) bagi membangunkan pelbagai program pengajian secara bersama.

Naib Canselor OUM Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali berkata melalui MoU itu, guru dan pensyarah institut penddidikan gurtu ditawarkan pelbagai program pengajian peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Katanya kerjasama itu diadakan bagi mengendalikan pelbagai program pengajian akademik secara bersama di samping meneroka peluang membangunkan program latihan, pendidikan dan aktiviti berasaskan pengetahuan serta persefahaman.

"Kerjasama dalam program ini ditawarkan kepada guru-guru yang bakal bersara dan kursus jangka masa pendek untuk meningkatkan profesionalisme guru pra perkhidmatan dan dalam perkhidmatan," katanya kepada Bernama selepas majlis pemeteraian MoU itu di Kampus Utama OUM di sini.

OUM diwakili oleh Anuwar manakala YGMB oleh Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Anuwar berkata selain itu, OUM juga menawarkan kursus pendidikan awal kanak-kanak.

Beliau berkata sehingga kini lebih 30,000 guru di seluruh negara telah melanjutkan pengajian dengan OUM.

Sementara itu, Alimuddin, yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran, berkata beliau beliau melihat kerjasama berkenaan bersesuaian dengan dasar Kementerian Pelajaran untuk mengsiswazahkan semua guru sekolah menengah dan 50 peratus guru di sekolah rendah.

"Selain itu, kerjasama ini akan memberi peluang dalam meningkatkan kelayakan akademik guru-guru di negara ini," katanya.

Artikel Lain