suria

UniMAP Berazam Jadi Universiti Terhebat Di Rantau Ini

KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berazam menjadi antara universiti yang terhebat di rantau ini termasuk dalam bidang penyelidikan.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata hasrat itu boleh dicapai melalui kerjasama media massa yang turut mengenengahkan pencapaian universiti itu.

Berucap pada majlis Malam Mesra Media UniMAP 2011 di sini malam tadi, beliau berkata universiti itu telah mencatat kejayaan demi kejayaan dalam pertandingan produk peringkat antarabangsa dan kebangsaan.

Selain pencapaian itu dilaporkan dalam bentuk berita, beliau juga berharap media massa turut menulis rencana yang lebih khusus mengenai produk yang dihasilkan.

Bagaimanapun beliau tetap berpuas hati dengan laporan-laporan media mengenai UniMAP, sebuah universiti yang berusia sembilan tahun tetapi telah melonjak namanya di arena antarabangsa.

"UniMAP amat menghargai peranan media massa pada setiap masa," katanya.

Sempena malam mesra media bertemakan 'back to school' itu pelbagai acara diadakan termasuk menguji kebolehan anggota media meniru dialog dalam filem-filem lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Dua anggota media, Mohd Faizal Abu Hassan daripada Utusan Melayu yang berpakaian ala pelajar sekolah rendah dan Asma Mansor daripada Bernama yang berpakaian seragam kanak-kanak tadika pula muncul sebagai juara pakaian mengikut tema dengan masing-masing menerima hadiah RM300.

Wakil-wakil media juga menunjukkan bakat masing-masing dalam acara bercerita dan menyanyi manakala Dr Kamarudin juga turut menunjukkan bakat nyanyiannya.

Pada majlis itu, syarikat penerbangan tambang murah AirAsia turut menaja tiket-tiket cabutan bertuah untuk percutian ke luar negara termasuk Bangkok, Bandung dan Bali kepada anggota media dan petugas UniMAP. – BERNAMA

Artikel Lain