suria

Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun Dibuka September Ini

KUALA LUMPUR: Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) dijadual memulakan pengajian pada September ini dengan pengambilan pertama seramai 130 pelajar.

Duta Jepun ke Malaysia Shigeru Nakamura berkata institut itu akan menawarkan empat program ijazah dan lepasan ijazah kepada pelajar Malaysia.

Kursus yang ditawarkan ialah Kejuruteraan Sistem Elektronik, Kejuruteraan Mekanikal Kejituan, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar dan Pengurusan Teknologi dan Perniagaan.

Beliau berkata Jepun akan menghantar tujuh profesor untuk memudahkan pemindahan ilmu pengetahuan.

"Menjelang 2015, kami merancang mempunyai sekurang-kurangnya 40 profesor Jepun mengajar di MJIIT. Kami mengunjurkan menjelang 2015, MJIIT akan mempunyai 2,100 pelajar dan bilangan mereka akan meningkat kepada 2,700 pelajar menjelang 2017," katanya kepada pemberita pada sesi taklimat di kediamannya, di sini. MJIIT akan beroperasi di Kampus Antarabangsa Universiti Teknologi Mara di Jalan Semarak di sini.

Institut ini ditubuhkan di bawah inisiatif kerajaan Malaysia dan Jepun yang tercetus semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Jepun pada April 2010.

Bajet MJIIT dianggarkan selama tujuh tahun dari tahun ini adalah kira-kira RM750 juta, meliputi kos operasi, peralatan makmal, biasiswa ijazah berganda dan infrastruktur. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain