UiTM IPTA Pertama Terima Anugerah Platinum ACCA

Diterbitkan: Rabu, 13 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pertama di negara ini yang menerima Anugerah Platinum Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) untuk program perakaunan profesional yang ditawarkan di bawah Jabatan Pengajian Perakaunan Profesional, Fakulti Perakaunan universiti itu.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata pencapaian itu merupakan satu pengiktirafan membanggakan dan menjadikan UiTM sebagai IPTA yang diperakui mampu melahirkan akauntan bertaraf antarabangsa.

"Pengiktirafan ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menambah bilangan tenaga profesional termasuk melahirkan lebih ramai akauntan terlatih yang diiktiraf menjelang negara mencapai taraf maju pada 2020," katanya selepas menyaksikan majlis penyampaian Anugerah Platinum ACCA di sini, Selasa.

Beliau berkata mengikut statistik yang dikeluarkan Institut Akuantan Malaysia (AIM) pada tahun lepas, jumlah akauntan berdaftar adalah kira-kira 25,000 orang di mana ia masih belum cukup untuk memenuhi keperluan ekonomi negara.

Saifuddin berkata penganugerahan daripada ACCA itu juga merupakan satu pencapaian di peringkat global dan membuktikan tenaga mahir Malaysia, khususnya dalam bidang perakaunan memenuhi piawaian yang diiktiraf di seluruh dunia.

Terdahulu, Anugerah Platinum itu diserahkan oleh Pengarah Eksekutif ACCA (Jenama Global) Neil Stevenson kepada Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar serta disaksikan Saifuddin dan Pro Canselor Tan Sri Arsyad Ayub yang juga dikenali sebagai 'Bapa ACCA'.

Dengan pengiktirafan itu, UiTM secara rasmi dikenali sebagai Rakan Kerja yang Diiktiraf-Tuisyen Penuntut oleh ACCA.

Antara kriteria yang diperlukan untuk mendapat Anugerah Platinum ACCA itu ialah keputusan dan pencapaian cemerlang berterusan oleh penuntut dalam bidang berkenaan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan