suria

300,000 Jurutera Menjelang 2020 - Menteri Pengajian Tinggi

SERDANG: Menjelang tahun 2020 negara mampu melahirkan antara 275,000 hingga 300,000 ribu jurutera, sekaligus mencapai tahap untuk sebuah negara maju iaitu seorang jurutera kepada setiap 100 orang penduduk, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, sehubungan itu kejuruteraan dipilih bersama tiga bidang pengajian lain iaitu perubatan, pergigian dan farmasi; sains kesihatan; serta hospitaliti dan pelancongan untuk melalui Sistem Penarafan Disiplin Pengajian (D-Setara).

"Eksais penarafan yang memberi fokus kepada kualiti pembelajaran dan pengajaran di peringkat ijazah Sarjana Muda itu akan dilaksanakan pada awal tahun depan dan hasilnya dijangka dapat diperoleh pada pertengahan tahun itu juga," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Mohamed Khaled berkata, buat masa ini jumlah bilangan jurutera adalah sekitar 140,000 orang atau nisbah seorang jurutera kepada setiap 192 penduduk.

Sehingga kini terdapat 15 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 16 Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menawarkan sejumlah 378 program dan bidang kejuruteraan.

Beliau menambah, melihat kepada keperluan melahirkan jurutera yang mencukupi dan berkualiti tinggi, bidang itu perlu dipantau dan diperkukuhkan menerusi Hala Tuju Pengajian Kejuruteraan Fasa Dua yang antara lain mewujudkan beberapa skim seperti Felo Kanan bertaraf Profesor Madya dan Felo Utama bertaraf profesor.

"Selain usaha melantik tenaga profesional yang mempunyai pengalaman dan unjuran yang tetap setiap tahun untuk geran penyelidikan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi antara tahun 2006 hingga 2011 yang keseluruhan berjumlah RM108.9 juta," katanya.

Terdahulu, Mohamed Khaled melancarkan tiga buku iaitu Kajian Kes: Satu Kaedah Pengajaran-Pembelajaran Baru dalam Kejuruteraan Awam, Hala Tuju Bidang Kaunseling di Malaysia dan Hala Tuju Pendidikan Senibina di Malaysia di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain