suria

Lebih Ramai Penuntut Malaysia Pilih Universiti Kanada

VANCOUVER: Bilangan penuntut antarabangsa, termasuk dari Malaysia, di institusi pengajian tinggi Kanada telah meningkat dalam setiap bidang, dengan bilangan penuntut antarabangsa ini khususnya dari Asia dijangka terus bertambah pada dekad ini.

Kanada menyaksikan penguasaan pasaran penuntut antarabangsanya terus meningkat daripada 178 negara 30 tahun yang lepas kepada 200 negara baru-baru ini.

Kanada sedang berusaha dengan aktif untuk mensejagatkan industri pendidikannya yang bernilai berbilion ringgit.

Bersama sistem persekolahan awam yang disegani serta 92 buah institut pengajian tinggi berkualiti di seluruh negara, bilangan penuntut antarabangsa di Kanada meningkat mendadak kepada 178,000 orang berbanding 97,300 orang pada 1999.

Hampir lima daripada setiap 10 penuntut antarabangsa adalah dari Asia, dengan Malaysia sebagai antara negara pembekal utama penuntut.

Universiti utama Antara universiti terkemuka di Kanada ialah McGill University di Montreal, University of Toronto, York University, University of British Columbia (UBC), University of Alberta dan University of Guelph,

Hakan Bjorn, Pengarah Wilayah bagi Inisiatif Penuntut Antarabangsa di UBC, berkata buat masa ini terdapat 140 penuntut Malaysia di UBC tetapi angka ini mungkin lebih tinggi jika warga Malaysia yang menjadi pemastautin tetap atau menjadi rakyat negara itu diambil kira.

Trend umum yang disaksikan di UBC sejak lapan tahun yang lepas menunjukkan bilangan pemohon meningkat ketara, daripada 20 permohonan pada 2004 kepada 200 permohonan pada tahun ini. Permohonan ini adalah daripada pelajar sekolah menengah sahaja dan tidak termasuk penuntut daripada institusi pengajian tinggi Malaysia untuk melanjutkan pengajian dan penyelidikan.

"Tahun lepas, kami menerima lebih kurang 120 permohonan. Kami tidak sangka menyaksikan peningkatan hebat ini di UBC," kata Hakan kepada Bernama.

Ramai rakyat Malaysia juga melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi lain di Kanada khasnya kerana ramai yang mendapati Kanada sebagai pilihan terbaik selain daripada destinasi tradisional seperti UK, Australia dan New Zealand, kata beliau.

Membuat pilihan

Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia buat masa ini menaja 400 orang penuntut di pelbagai universiti di Kanada -- dengan kebanyakan mereka mengikuti program kejuruteraan, sastera, sains sosial dan bioteknologi.

Tinjauan menunjukkan kebanyakan daripada penuntut antarabangsa yang memilih Kanada sebagai pilihan pertama mereka mempunyai tanggapan baik terhadap persekitaran di Kanada - mesra, memikat, selamat, pelbagai dan berbilang budaya.

Pengarah Eksekutif Konsortium Pendidikan Antarabangasa British Columbia, Randall Martin, juga memberitahu Bernama bahawa Kanada semakin popular dalam kalangan penuntut antarabangsa khasnya dengan yuran pengajian yang kompetitif dan satu dasar jelas yang membenarkan penuntut untuk terus berada dan bekerja di di negara ini selepas menamatkan pengajian.

"Kami tidak pernah berkompromi dengan kualiti daripada segi syarat kemasukan. Mengenai keperluan bahasa, kita tidak berkompromi dengan apa yang dikenali di Kanada...pendidikan berkualiti pada harga yang sangat menarik," kata Randall.

Penuntut antarabangsa

Hakan percaya bahawa perbincangan antara penuntut dan keluarga mereka bagi pencarian pengajian akademik berkualiti selain pengalaman pengajian hebat di Kanada telah membantu menjana reputasi yang utuh bagi institusi negara ini yang juga menerima subsidi tinggi.

"Kanada adalah negara terbuka dengan persekitaran berbilang budaya. Mungkin terdapat tentangan di pelbagai tempat lain yang tidak mahu pendatang baru. Kami (di Kanada) melihat kepelbagaian sebagai kekuatan dan penuntut-penuntut antarabangsa juga berpendapat demikian," kata Hakan.

"Jika anda ke sebuah negara yang tidak mesra, walaupun sekolah-sekolahnya hebat, ia akan membawa kesan kepada anda," kata Hakan, merujuk kepada Kanada yang terkenal dengan sikap toleransi dan pintu terbuka.

Di UBC sahaja, terdapat 141 kewarganegaraan dan ini menawarkan pengalaman yang mengkagumkan semasa orientasi.

"Di UBC, kami ada menerima antara pelajar terbaik dari Malaysia. Daripada pengalaman saya, mereka berdisiplin tinggi dan merupakan pelajar yang baik. Kami mempunyai dasar pengambilan yang ketat dan akan terus mengambil pelajar dari Malaysia, sesuatu yang penting. Kami menghargai kehadiran lebih ramai penuntut Malaysia sebagai sebahagian daripada kalangan penuntut antarabangsa," kata Hakan.

Penuntut antarabangsa menyumbang sejumlah C$6.5 bilion kepada ekonomi Kanada pada 2008 dan angka itu mungkin meningkat sejak itu memandangkan aktiviti promosi pendidikan di semua tempat, termasuk Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu.

Tidak kira di peringkat program ijazah pertama atau lepasan ijazah (sarjana dan PhD), ramai penuntut Malaysia telah tiba di sini dan Kanada semakin serius sebagai sebuah penggiat pendidikan global.

Penuntut dari China merupakan yang paling ramai mengikuti program ijazah pertama di negara ini disusuli penuntut dari Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun, Hong Kong, Mexico, UK, Indonesia, Malaysia dan India. - BERNAMA

Artikel Lain