suria

UUM Catat Sejarah Proses Pelantikan Dekan & Pengarah Melalui Pencalonan Staf Akademik

ALOR SETAR: Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta sejarahnya yang sendiri apabila pelantikan dekan dan beberapa pengarah jabatan di universiti itu dilakukan melalui pencalonan daripada kalangan staf akademik.

Naib Canselornya, Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak dalam satu kenyataan berkata, ia merupakan salah satu kriteria baru yang dilaksanakan universiti itu yang mengambil kira mereka yang dicalonkan oleh kakitangan akademik bagi mengisi jawatan pentadbiran di kolej akademik dan pusat pengajian universiti itu.

Katanya, melalui proses pencalonan yang dijalankan menerusi sistem komputer itu, pihak pengurusan tertinggi universiti akan mendapat gambaran awal daripada kalangan kakitangan akademik mengenai calon yang mereka mahu untuk memimpin mereka.

"Dengan pelantikan melalui cara ini saya harap ia akan menguatkan lagi struktur pengurusan kolej UUM yang boleh menjadi pemangkin kepada usaha menjayakan hasrat menjadikan universiti ini sebagai sebuah universiti pengurusan terkemuka Malaysia," katanya lagi.

Menurut beliau, pemilihan ini selaras dengan Seksyen 24 (4) Perlembagaan UUM yang memperuntukkan bahawa Naib Canselor selepas berunding dengan kakitangan akademik akan melantik seorang penolong naib canselor bagi setiap kolej dan sekurang-kurangnya seorang dekan.

"Pelantikan ini juga memperlihatkan calon-calon yang terpilih daripada kalangan mereka yang berpengalaman termasuk barisan pelapis kepimpinan muda agar universiti tidak ketandusan pemimpin dalam proses memperkasakan sistem pentadbiran universiti pada masa akan datang," katanya.

Keputusan pencalonan yang diperoleh menunjukkan beberapa pemimpin pelapis muda dan berbakat telah ditampilkan oleh warga akademik universiti ini untuk diangkat sebagai pentadbir yang boleh menerajui pusat pengajian.

Katanya, ini menunjukkan bahawa universiti itu cukup bersedia untuk mengadakan proses peralihan jangka masa panjang dan memberi peluang kepada barisan kepimpinan muda untuk mentadbir universiti berkenaan.

"Menariknya, melalui cara pelantikan ini juga, universiti berjaya menampilkan hampir 50 peratus pemimpin akademik daripada kalangan Alumni UUM sendiri," katanya.

Kesemua yang dilantik akan memulakan tugas mereka berkuatkuasa 1 Julai 2011.

Sementara itu, Mohamed Mustafa berkata, UUM juga turut melantik Pengarah Pengurusan Kualiti dan Strategik di setiap Kolej Akademik bagi memantau dan menjaga kualiti pengajaran dan pembelajaran di universiti itu.

"Mereka yang dilantik perlu di kalangan mereka yang berpengalaman yang akan memantapkan lagi kualiti dan seterusnya mencapai visi dan misi UUM," katanya.

Artikel Lain