suria

Universiti Penyelidikan Sains Sosial Dijangka Diketahui Tahun Depan - Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR: Universiti awam yang akan dibangunkan menjadi universiti penyelidikan sains sosial dijangka diketahui pada tahun depan, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata ketika ini kriteria pemilihan universiti berkenaan sedang diperhalusi sebelum dijadikan ukuran untuk mana-mana universiti yang layak.

Katanya universiti terpilih akan mendapat kelebihan sama seperti lima universiti penyelidikan sains teknologi sedia ada ketika ini iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sehubungan itu 15 lagi institusi pengajian tinggi awam sedia ada yang memenuhi kriteria yang akan ditentukan, akan dipilih menjadi universiti penyelidikan sains sosial.

"Kita menerima hakikat bahawa penyelidikan bukan sahaja perlu dilakukan negara dalam bidang sains dan teknologi tetapi juga dalam bidang sains sosial," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 bagi kementerian berkenaan di sini Selasa.

Sebelum ini Mohamed Khaled berkata universiti seumpama itu perlu ditubuhkan sekurang-kurangnya sebuah menjelang 2020 kerana penyelidikan dalam sains sosial perlu untuk melengkapi usaha membangun dan menjayakan tamadun negara.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata peranan pemudahcaraan kementerian mesti dilonjakkan supaya ia menyumbang kepada keberkesanan terhadap semua pelaksanaan projek dan inisiatif dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara.

Pada majlis itu seramai 1,083 pegawai dan kakitangan kementerian dan agensi di bawahnya menerima anugerah berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain