suria

Program Implan Koklear UKM Patut Naik Taraf Pusat Kecemerlangan

PUTRAJAYA: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sudah sampai masanya Program Implan Koklear Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang kini berusia 15 tahun dinaik taraf sebagai pusat kecemerlangan universiti (COE).

Khaled berkata, beliau menyokong penuh untuk menaik taraf program itu kerana UKM merupakan perintis dalam program tersebut di negara ini, serta berdasarkan usaha-usaha yang dijalankan mereka untuk mengembangkan program tersebut sehingga kini.

"Saya suka memberi jaminan, di peringkat kementerian, kita akan menyokong bukan sahaja penubuhan satu COE bahkan saya percaya dan yakin COE ini akan menjadi higher education center of excellence, maknanya bukan sahaja di peringkat UKM bahkan di peringkat kebangsaan," katanya pada majlis perasmian sambutan ulang tahun ke 15 Program Implan Koklear dan ulang tahun ke 10 Pusat Tutur UKM di sini, Khamis. Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Dr Zulkifli A. Hassan, Naib Canselor UKM Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Ketua Program Implan Koklear UKM, Datuk Dr Lokman Saim dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Datuk Leela Ali.

Mohamed Khaled berkata, melalui langkah itu juga, pasukan implan koklear UKM dapat mengadakan jaringan dan hubungan dengan pakar-pakar dalam bidang sama dari negara-negara lain, termasuk negara-negara maju.

Beliau berkata, ia bukan mustahil memandangkan pasukan tersebut telah terpilih menjadi perunding dalam penubuhan dan latihan untuk Pasukan Implan Koklear di beberapa buah negara di rantau ini seperti Indonesia, Brunei, Vietnam dan Pakistan.

"Gerak kerja ini merupakan inisiatif pengantarabangsaan kepakaran Malaysia ke arah menjadi pemain global dalam bidang perubatan dan sains kesihatan," katanya.

Mohamed Khaled turut berharap agar lebih banyak pihak swasta tampil memberi bantuan kepada pihak yang memerlukan rawatan itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing.

Program Implan Koklear UKM, merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini malah di rantau ini, menjalankan pembedahan pertama ke atas seorang remaja berusia 16 tahun, Ang Boon Soo, dari Kelantan pada 15 Disember 1995.

Sehingga kini, 295 pesakit yang mempunyai masalah pendengaran telahpun menjalani pembedahan itu dan mengikuti program latihan audiologi dan terapi pertuturan yang dikendalikan oleh UKM bagi membolehkan mereka bertutur dan mendengar seperti manusia normal. - BERNAMA

Artikel Lain