suria

UUM Tandatangan MoU Dengan UniMAP Laksana Kolaborasi Pintar

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Isnin menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengadakan kolaborasi pintar dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

MoU itu ditandatangani antara Naib Canselor UUM Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak dan Naib Canselor UniMAP Datuk Profesor Dr Kamarudin Hussin.

Mohamed Mustafa berkata antara objektif MoU berkenaan adalah berkongsi kemahiran serta kepakaran dalam pentadbiran, pembangunan akademik, pelajar, penyelidikan dan sumber ilmiah.

Beliau berkata ia juga bermatlamat menjimatkan peruntukan negara dalam sektor pengajian tinggi dengan meningkatkan keberkesanan melalui perkongsian kepakaran serta sumber kedua-dua universiti.

"Sebagai contoh, pelajar UUM atau UniMAP boleh mengambil kursus teras di kedua-dua universiti. Dengan adanya penawaran program secara bersama, kita boleh menjayakan siri jemputan ke kuliah-kuliah pengajaran secara dua hala, sekaligus menjimatkan pengambilan tenaga pengajar," katanya. Mohamed Mustafa berkata sebagai universiti pengurusan, UUM berupaya membantu UniMAP dalam mengetengahkan inovasi yang dihasilkan warganya ke tahap lebih baik. "UniMAP, yang merupakan universiti teknikal, mempunyai banyak inovasi yang memenangi pelbagai anugerah, UUM bersedia membantu dari segi pemasaran inovasi terbabit," katanya.

Sementara itu, Kamarudin berkata UniMAP sangat menghargai peluang berkolaborasi dengan UUM, dan sedia berkongsi pengalaman selain memastikan kedua-dua universiti akan berada dalam situasi menang-menang.

Beliau berkata sebelum ini, UUM dan UniMAP sudah menjalin usaha sama yang baik, namun kali ini, ia lebih menjurus kepada perkara lebih serius bagi melonjakkan kedudukan kedua-dua universiti.

"Selain menjimatkan perbelanjaan pengajian tinggi, kolaborasi ini dapat meningkatkan kualiti produk (graduan) dengan mengamalkan guna sama staf, kemudahan dan sebagainya," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain