suria

PTPTN Peruntuk RM6 Bilion Untuk Pinjaman Tahun Pengajian 2011

MARAN: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM6 bilion untuk pinjaman kepada 235,000 penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, peruntukan itu sebagai usaha berterusan kerajaan melahirkan generasi baru negara yang berpendidikan tinggi.

"PTPTN menambah jumlah pinjaman daripada RM2 bilion kepada RM6 bilion tahun ini supaya pelajar dapat menumpukan perhatian penuh kepada pelajaran," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Wang Pendahaluan Pembiayaan (WPP) peringkat Parlimen Kuala Krau di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka di sini, Rabu.

Sementara itu, beliau berkata PTPTN memungut hutang sejumlah RM600 juta daripada peminjam yang disenarai hitam dan tidak dibenar keluar negara sejak langkah itu dilaksana dengan kerjasama Jabatan Imigresen pada tahun lepas.

Bagaimanapun katanya, terdapat kira-kira 228,000 peminjam membabitkan pinjaman berjumlah RM2.5 bilion masih berdegil untuk menjelaskan hutang mereka walaupun telah dihubungi PTPTN.

"Mereka yang berdiam diri akan tetap diburu dan diambil tindakan undang undang," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain