suria

Teks Ucapan Naib Canselor UPM Pada Majlis Gemilang Akademia Putra 2010

BERIKUT adalah teks ucapan Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia pada Majlis Gemilang Akademia Putra 2010 (MGAP10) yang berlangsung di Dewan Besar UPM Serdang, pada Khamis, 5 Mei 2011.

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj.

Ampun Tuanku,

Terlebih dahulu patik bagi seluruh warga Universiti Putra Malaysia merafak sembah, menjunjung kasih yang tidak terhingga atas perkenan Duli Tuanku kerana sudi berangkat datang ke Majlis Gemilang Akademia Putra 2010 pada hari ini.

Sesungguhnya keberangkatan datang Duli Tuanku pada hari ini amat besar ertinya buat patik sekalian di Universiti ini.

Sesungguhnya tradisi kecemerlangan universiti sehingga hari ini, di bawah naungan Duli Tuanku, telah pun mencapai beberapa kejayaan yang menempatkan Universiti di landasan yang strategik untuk mencapai wawasannya menjadi sebuah universiti yang terkemuka pada peringkat antarabangsa.

Antara kejayaan yang telah dicapai UPM ialah mendapatkan dan mengekalkan pengiktirafan sebagai Universiti Penyelidikan, mendapat status swa-akreditasi; pengiktirafan Sekolah Pengajian Siswazah Pengurusan UPM sebagai salah satu ‘Malaysian Top Business School’; dan Institut Biosains diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HiCOE).

Dalam penilaian kendiri baru-baru ini, 7 fakulti dan 2 institut telah melepasi skor 5 bintang mengikut instrumen MyRA.Warga UPM menjunjung kasih yang tidak terhingga atas sokongan dan wawasan serta perkenan nasihat Duli Tuanku yang berterusan untuk memperkukuh citra UPM dan seterusnya meneroka kecemerlangan universiti untuk masa hadapan.

Seterusnya, patik dengan hormat takzim memohon perkenan Duli Tuanku untuk patik memberi ucapan kepada para hadirin sekalian.

Ampun Tuanku,

Yang Berbahagia Tan Sri Dato Setia Dr. Haji Nayan Arifin, Pro-Canselor, Universiti Putra Malaysia.

Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Lim Ah Lek Pro-Canselor, Universiti Putra Malaysia.

Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Rozali Ismail Pro-Canselor, Universiti Putra Malaysia.

Yang Berbahagia Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Syed Jalaluddin Syed Salim, Pengerusi Lembaga Pengarah, Universiti Putra Malaysia.

Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Pegawai Kanan Universiti Putra Malaysia Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

1. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjat rasa syukur ke hadrat Allah Subhanallahu Wataala atas limpah perkenan dan izin-Nya, dapatlah kita berhimpun di Majlis Gemilang Akademia Putra 2010 ini.

2. Majlis ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada ahli akademik UPM yang telah mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pengajaran, penyelidikan dan perundingan melalui tiga anugerah, iaitu, Anugerah Pengajaran Putra; Anugerah Penyelidikan dan Inovasi; dan Anugerah Perundingan.

3. Majlis Gemilang Akademia Putra yang bermula pada tahun 2009 merupakan salah satu program tahunan universiti yang mampu menyumbang kepada usaha murni Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Kerajaan dalam melahirkan modal insan yang terbilang. Majlis ini juga merupakan satu inisiatif mempersada kualiti pegawai akademik dari segi kepemimpinan, kecemerlangan kerja, kemantapan daya usaha sehingga boleh dijadikan perangsang kepada seluruh warga UPM. Majlis ini juga merupakan satu wahana untuk mengenal pasti calon Anugerah Akademia Negara (AAN) anjuran Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pada setiap tahun. Pada tahun ini, seluruh warga universiti amat berbesar hati atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor untuk menyampaikan anugerah kepada para pemenang.

4. Penganjuran majlis seumpama ini diharap berupaya memberi suntikan dan semangat kepada warga Universiti untuk terus berusaha dengan lebih gigih bagi meningkatkan lagi sumbangan dan pencapaian universiti menerusi aktiviti pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan profesional demi kemajuan dan kesejahteraan masyarakat dan negara.

5. Saya bersyukur atas kejayaan yang telah dicapai oleh UPM. Kejayaan mengekalkan status Universiti Penyelidikan, dianugerahi status swa-akreditasi, mendapat taraf Hi-COE untuk Institut Biosains dan lain-lain seperti yang disebutkan awal tadi telah membakar semangat warga UPM untuk terus mempertingkatkan sumbangan dalam pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan profesional. Kejayaan terbaharu UPM ialah lantikan sebagai Lead University for Aerospace Malaysia Innovation Center (AMIC) bagi projek kerjasama berkenaan penyelidikan dan pembangunan pesawat Airbus.

6. Untuk melestarikan kejayaan, UPM akan terus melagang usaha memberi tumpuan untuk menjadikan Pelan Strategik UPM 2011-2013 operasional. Untuk itu, UPM perlu meneruskan tumpuan pada memperkasakan penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersilan (R&D&C), pengajaran dan pembelajaran untuk menghasilkan graduan yang boleh berfungsi atau functional graduate, dan tadbir urus yang baik.

PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN SERTA PENGKOMERSILAN

7. Pencapaian UPM dalam R&D&C telah mencatatkan kemajuan yang memberansangkan dan telah melalui proses evolusi. Daripada R&D beralih kepada R&D&C. Daripada pencapaian dalam bentuk penerimaan geran penyelidikan kerajaan yang terbanyak dan menjalankan penyelidikan semata-mata, beralih kepada penghasilan R&D&C menerusi penerbitan jurnal berwasit, jurnal ISI dan pengkomersilan. Justeru, program penyelidikan UPM yang dilaksanakan selepas ini akan lebih berfokuskan kepada falsafah important atau strategic research dan bukan setakat interesting research untuk menghasilkan penerokaan baharu yang memberi impak tinggi, berkualiti dan dikomersilkan serta menyumbang kepada pembentukan dasar kepada kemakmuran ekonomi dan kekayaan negara; membentuk masyarakat yang berdaya maju dan menjadikan universiti bereputasi antarabangsa. Hal ini adalah selari dengan semangat Misi UPM.

8. Cabaran mengekalkan status Universiti Penyelidikan khususnya di bawah instrumen MyRA 2011 mendorong penyatuan usaha dan komitmen warga UPM untuk menghasilkan penyelidikan yang mempunyai ‘roh’ di mana berfokuskan impak kepada pembangunan dan kemajuan negara dan sejagat dan bukan setakat melambangkan angka dan statistik pencapaian penerbitan, sitasi, paten dan sebagainya. Apa kita ingin tekankan ialah aktiviti penyelidikan ini bertunjangkan kepada pembentukan budaya inovasi dan produktiviti tinggi yang dapat merangsang model ekonomi berpendapatan tinggi dan membentuk kehidupan yang lebih berkualiti.

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

9. Dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, tumpuan akan diberikan untuk melahirkan graduan yang boleh berfungsi atau functional graduate. Sararan yang telah diletakkan pada tahun ini ialah untuk meningkatkan peratus kebolehdapatan kerja graduan dalam tempoh 6 bulan selepas bergraduat daripada 74.1% kepada 78%. Untuk itu, UPM akan memperkasakan pendekatan student-centered learning dalam pengajaran dan pembelajaran. Outcome Based Education (OBE), Problem Based Learning (PBL), Modular Approach dan Case Study adalah antara pedagogi yang digunapakai untuk mentransformasikan pelajar kepada individu yang cemerlang secara keseluruhannya.

10. Selain aktiviti dalam bilik kuliah, program ko-kurikulum berkredit akan dilaksanakan dengan lebih berkesan agar benar-benar dapat meningkatkan Generic Student Attributes untuk menyerlahkan lagi ketrampilan bakal graduan yang dapat memberi kelebihan dalam persaingan di pasaran pekerjaan. Antara punca kelemahan pelajar dalam persaingan mendapat pekerjaan ialah ketidakupayaan berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris. UPM telah mengambil langkah proaktif dengan mewajibkan pelajar semester akhir mengambil Test on Communication in English (TOCIE) untuk mengenal pasti tahap penguasaan bahasa Inggeris. Dengan ini, UPM akan dapat mengambil tindakan intervensi untuk memperbaiki tahap penguasaan pelajar berkenaan bahasa Inggeris. Universiti bercadang mengadakan TOCIE lebih awal pada masa hadapan supaya tindakan intervensi menjadi lebih berkesan.

11. Keupayaan mempertingkatkan Generic Student Attributes ini menjadi cabaran untuk warga akademik melaksanakan tanggungjawab demi memastikan pemindahan pembelajaran yang berkesan. Status Universiti Penyelidikan bukanlah ‘lesen’ kepada pensyarah mengenepikan tumpuan dalam pengajaran dan pembelajaran kerana ia merupakan teras kepada agenda pembangunan modal insan minda kelas pertama. Untuk tahun ini, kita telah menyasarkan kenaikan skor Generic Student Attributes daripada 88.7% kepada 90%.

12. Program Knowledge Transfer Partnerships (KTP) seperti yang diamalkan di United Kingdom dan kebanyakan negara di Eropah juga perlu diperkukuhkan di UPM. Program ini mampu membantu industri meningkatkan daya saing dan produktiviti melalui penggunaan pengetahuan, teknologi dan kemahiran yang terdapat dalam kalangan warga universiti. Ia juga turut memberi ruang kepada warga Universiti khususnya kepada pelajar dan graduan untuk menggarap dan meningkatkan pengalaman dalam dunia industri yang sebenar.

TADBIR URUS TERBAIK DAN INTEGRITI

13. Untuk melestarikan pencapaian UPM, adalah sangat penting bagi UPM mempunyai tadbir urus terbaik dan integriti tinggi. Kerajaan telah memutuskan untuk memperkenalkan University Good Governance Index (UGGI). Indeks ini mengukur kesediaan sesebuah universiti itu kepada autonomi. Apa yang penting bukan setakat kita mempunyai tadbir urus terbaik tetapi juga tahap integriti yang tinggi selari dengan konsep human governance.

14. Bercakap soal integriti ini banyak perkara yang warga UPM boleh belajar dari Jepun semasa dilanda Tsunami baru-baru ini. Antara lain ialah bila bekalan elektrik terputus di pasaraya, pelanggan meletakkan balik barangan di tempat asal dan meninggalkan pasaraya. Hal ini berbeza dengan peristiwa lori yang membawa duit syiling terbalik di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur keluar Pedas, yang mana pengguna lebuh raya tanpa memperdulikan keselamatan bukannya membantu pemandu tetapi sibuk memungut duit syiling untuk kantung sendiri. Sikap positif lain yang ditunjukkan oleh rakyat Jepun ialah lima puluh daripada pekerja sanggup berkorban bekerja secara berterusan untuk mengepam air laut ke dalam loji nuklear. Di samping itu penduduknya membeli keperluan runcit setakat cukup untuk penggunaan semasa, agar orang lain pun berpeluang mendapatkan bekalan berkenaan. Kesemua ini merupakan petunjuk tahap integriti yang tinggi dan sewajarnya diteladani oleh warga UPM termasuk pelajar. Dengan ini kita dapat mencegah sikap negatif dan menambah nilai pekerjaan kita dan graduan kita.

15. Adalah sangat penting untuk kita mengamal integriti tanpa kompromi untuk mendapat keredaan Ilahi. Diriwayatkan bahawa Muawiyah radiallahu’anhu semasa pemerintahannya sebagai Khalifah pertama Bani Umaiyah telah menulis surat kepada Saidatina Aisyah radiallahu’anha, ‘Tulislah surat kepadaku yang berisi nasihat untukku dan jangan terlalu banyak’. Maka Aisyah radiallahu’anha menulis untuk Mu’awiyah r.a., ‘Salamun ‘alaik. Amma ba’du, sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Barang siapa mencari keredhaan Allah dengan (sesuatu yang menyebabkan) kemarahan manusia, maka Allah akan melindunginya dari kejahatan manusia. Dan barang siapa mencari keridaan manusia dengan (sesuatu yang menyebabkan) kemurkaan Allah, maka Allah akan menyerahkannya kepada manusia’. Ini bermakna segala tindak tanduk kita dalam menjalankan tugas dan juga dalam kehidupan hendaklah berpaksikan kepada kebenaran dan keadilan. Hal ini secara langsung akan memperkasakan integriti kita.

PENUTUP

16. Proses pemilihan penerima Anugerah Gemilang Akademia Putra malam ini telah dilakukan dengan penuh teliti oleh kumpulan panel yang berwibawa dalam pelbagai disiplin. Justeru, ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada panel yang telah menyempurnakan amanah menilai calon-calon yang tersenarai. Kepada ahli akademik UPM yang telah terpilih untuk menerima Anugerah Pengajaran Putra, Anugerah Penyelidikan dan Inovasi serta Anugerah Perundingan 2010, setinggi-tinggi syabas dan tahniah diucapkan. Kepada yang tidak terpilih, teruskan usaha anda.

17. Saya berharap kesemua penerima anugerah Majlis Gemilang Akademia Putra ini menjadi pendorong, penggerak dan motivasi oleh ahli-ahli akademik lain dalam menjana kecemerlangan yang berterusan di arena kebangsaan dan antarabangsa. Sekalung penghargaan kepada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia serta semua pihak yang memberi pelbagai bentuk sokongan serta bantuan yang begitu besar maknanya kepada kejayaan yang dicapai oleh universiti sehingga hari ini.

Staf akademik, P&P dan sokongan

Berganding bahu satu tujuan

Memacu UPM ke puncak kejayaan

Bukan anugerah menjadi buruan

Bakti yang disumbangkan menjadi ukuran

Mencipta kejayaan pemacu kesejahteraan

18. Akhir kata, setinggi penghargaan dan syabas kepada semua yang terlibat menjayakan Majlis Gemilang Akdemia Putra 2010. Komitmen yang diberikan adalah sangat tinggi dalam mencerna idea, memerah tenaga, menyempurna kerja, menzahir upacara, sehingga majlis yang merupakan penganjuran kali ketiga UPM ini terlaksana dengan gilang gemilang. Saya mendoakan semoga komitmen dan usaha semua diberkati Allah Subhanallahu Wata’ala.

Ampun Tuanku

Demikianlah ucapan yang ingin patik sampaikan kepada para hadirin. Patik sekali lagi merafak sembah dan menjunjung kasih atas kesudian Duli Tuanku berangkat datang bagi menyempurnakan Majlis pada hari ini. Keberangkatan Duli Tuanku telah mencetus semangat membara untuk patik sekalian meneruskan usaha gigih untuk memacu kejayaan gemilang UPM. Patik berdoa semoga UPM akan terus maju di bawah naungan Duli Tuanku.

Ampun Tuanku

Sekian, terima kasih.

Wabillahi taufik wal hidayah,

Wasalaamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh

Artikel Lain