TEKS UCAPAN PENUH MENTERI PENGAJIAN TINGGI PADA MAJLIS SYARAHAN UTAMA UKM

Diterbitkan: Selasa, 3 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANGI: Berikut adalah teks ucapan penuh, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada majlis syarahan utama sempena ulang tahun Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ke-40 di UKM, di sini pagi Selasa, 3 Mei 2011.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

YBhg. Tan Sri Dato’ Paduka Dr. Mazlan Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM.

YBhg. Ahli-ahli LPU.

YBhg. Prof. Tan Sri Dato’ Wira Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Naib Canselor UKM.

Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan Pegawai Pengurusan Utama.

Para Dekan Fakulti dan Pengarah Institut,

Ahli-ahli Senat, Pegawai-pegawai Kanan, Para Tetamu Kenamaan, Pimpinan Mahasiswa, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

1. Pertamanya, sukalah saya melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Taala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, maka dapat kita bersama-sama di majlis Syarahan Utama sempena Ekspo Permacuan Kegemilangan Warisan Ilmu pada pagi yang berbahagia ini. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih dan setinggi penghargaan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia khususnya Yang Berbahagia Naib Canselor, kerana sudi menjemput saya menyampaikan syarahan ini. Perhimpunan ini membolehkan kita mengimbau segala pencapaian dan kejayaan yang dikecapi UKM selama 40 tahun selain meneliti segala cabaran dan kesukaran yang telah dan akan dihadapinya.

2. Ibarat sebuah perjalanan yang panjang, tentunya banyak liku yang telah ditempuh, banyak halangan yang dilalui, selain sebahagiannya laluan direntas dengan sangat tenang. Namun, dalam ketenangan itu, kita harus sentiasa bertanya, apakah kita sedang menuju destinasi yang pasti? Kita juga harus menjangka, bahawa tidak semestinya ketenangan itu akan berpanjangan selama dalam perjalanan ini. Dengan premis yang sedemikian, maka kita harus mempunyai persiapan dan persediaan yang sewajarnya, kerana kita tidak pasti apa dan bagaimanakah bentuk cabaran dan halangan, yang bakal dihadapi nanti, lebih-lebih lagi perjalananan kita tiada penamatnya.

3. Sebagai Menteri Pengajian Tinggi, saya mengucapkan tahniah kepada UKM yang telah menempuh 40 tahun usianya, dan berada di gerbang 41 tahun pada 18 Mei 2011 ini. Sewajarnya detik kita menyaksikan kegemilangan yang menandai kedewasaan ini, dijadikan titik renungan, kerana UKM adalah satu-satunya universiti yang memiliki sejarahnya yang unik dan istimewa, lahir daripada hasil gesaan dan aspirasi pejuang kebangsaan, untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu serta menjadi institusi mercu tanda bagi pendidikan kebangsaan, di samping mendorong kemajuan dan pembangunan rakyat, khususnya orang Melayu yang sangat dhaif pada waktu itu.

UKM Obor Perjuangan Kebangsaan

4. Kini, dalam usia melewati 40 tahun, saya berkeyakinan, UKM akan dapat terus mempertahankan idealisme penubuhannya, memastikan kelangsungan jati diri kebangsaan dalam konteks globalisasi; berprakarsa untuk menjadi universiti bertaraf dunia dalam acuan sendiri; beristiqamah dalam pembinaan modal insan untuk kesejahteraan masyarakat yang berdaya saing; memapar konsep universiti sebagai lambang kesarjanaan dan wibawa ilmiah negara, serta menterjemahkan peranannya yang besar sebagai sebuah universiti penyelidikan dalam sistem inovasi negara. Dalam usia menjelang 41 tahun, UKM telah mengeluarkan 1,620 graduan PhD, 17,471 sarjana dan 119,892 graduan prasiswazah. Mereka adalah siswazah dalam pelbagai bidang dan sedang menabur bakti di seantero dunia. Pada hari ini juga, jumlah enrolmen adalah seramai 28,403 orang dengan 10,198 daripadanya adalah pelajar pascasiswazah. Ini jelas membuktikan keupayaan UKM sebagai sebuah universiti besar yang menarik, serta tidak menghampakan harapan rakyat dan negara. Masyarakat umum terus ingin melihat, obor perjuangan yang memenuhi harapan mereka tetap marak menyala di bumi UKM.

5. Justeru, pada hari ini juga, sudah sewajarnya kita merakamkan tanda hormat dan penghargaan yang paling tinggi, kepada para pelopor dan pejuang UKM, sama ada mereka berperanan pada peringkat merintis, menubuh, membina dan mengisi kelangsungan legasi UKM; dan sama ada kepada mereka yang telah berpulang ke Rahmatullah atau telah bersara daripada perkhidmatan di universiti. Sesungguhnya, bukan sedikit pengorbanan mereka. Jasa bakti mereka amat berharga, dan tidak ternilai sebagai sebahagian daripada catatan dan artifek dalam kemerdekaan, perkembangan dan pembangunan negara yang kini menjadi mercu tanda besar, yang membentuk landskap pendidikan tinggi tanah air dan dunia juga.

Menggilap Potensi untuk Kemakmuran Negara

6. Landskap pendidikan tinggi di seluruh dunia sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran besar. Universiti dituntut memenuhi kehendak dan keperluan sezaman khususnya dalam soal melahirkan modal insan, yang hari ini merupakan kekuatan bagi sesebuah negara. Ini di samping meneruskan usaha menjana ilmu demi kepentingan manusiawi serta mengasuh dan membentuk pemimpin masa depan.

7. Di Malaysia, sektor pendidikan tinggi adalah faktor kritikal yang seharusnya mampu mentransformasi negara melalui penghasilan modal insan yang berkualiti dan berketerampilan. Bagi menentukan Malaysia berjaya muncul menjadi negara maju berpendapatan tinggi dan turut menjadi pemain utama dalam ekonomi global, satu-satunya pilihan kita ialah menggerak cergas serta menggemblengkan seluruh rakyat Malaysia sebagai modal insan negara agar mereka berpotensi, berkemahiran dan berbakat. Nisbah rakyat yang berpendidikan tinggi yang lebih besar tentunya menjadi satu daripada faktor yang mencipta kemakmuran dan kesejahteraan negara.

8. Terkini, sektor pengajian tinggi negara menggalas tanggungjawab yang besar dan berat dalam menyediakan prasarana untuk mengembangkan ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi. Perkembangan dan trend semasamenuntut penyediaan landasan pendidikan tinggi yang luas dan terbuka. Justeru, isu kebolehjangkauan atau aksesibiliti pendidikan tinggi kepada seramai mungkin warga negara menjadi keutamaan dan perlu diberi perhatian besar. Ini kerana mobiliti sosial melalui akses dan pencapaian akademik merupakan tunjang bagi membina warga bermentaliti kelas pertama, berupaya mengembangkan diri secara lebih fleksibel, mencari peluang secara kreatif dan berinovasi, dan mampu meningkatkan ekonomi diri dan negara berasaskan pendekatan kelestarian.

9. Dalam hubungan ini, Kementerian Pengajian Tinggi dan semua agensi di bawahnya termasuk UKM, harus memikul tanggungjawab melebarkan peluang dan menggarap konsep pendemokrasian pendidikan tinggi, menggilap potensi sumber manusia di negara ini dengan penuh kesedaran, dan pendekatan strategik yang terbaik dan berkesan. Pelbagai kaedah harus digubal untuk membolehkan bakat dan potensi rakyat digilap, dipupuk dan dipelbagaikan dalam kerangka pendidikan tinggi yang relevan dan memberi keuntungan kepada negara.

10. Kaedah dan pendekatan kreatif dalam gagasan Pembelajaran Sepanjang Hayat yang disediakan UKM misalnya menerusi program pengajian berterusan dan program eksekutif untuk golongan yang sedang bekerja, bagi saya merupakan dukungan dinamik yang padu terhadap tanggungjawab ini. Saya percaya masih terdapat pelbagai kaedah yang lebih inovatif mampu diteroka dari masa ke semasa.

Kualiti Modal Insan

11. Satu daripada matlamat dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) ialah melahirkan modal insan minda kelas pertama. Dan melalui Pelan Pembangunan Modal Insan Inovasi Peringkat Tertiari yang dilancarkan baru-baru ini, ia bertujuan menjana modal insan inovasi yang berkualiti untuk memacu dan menggerakkan transformasi negara berteraskan inovasi dan kreativiti.

12. Matlamat ini menghendaki Universiti menghasilkan graduan cemerlang yang dapat memenuhi keperluan dan harapan negara, bukan sahaja berpengetahuan dan upaya menguasai bidang ilmunya malahan memiliki kemahiran khusus serta mempunyai daya keusahawanan selain dapat menempatkan dirinya dalam pasaran tenaga kerja yang diperlukan. Negara yang inovatif ekonominya bukan sahaja digerakkan oleh inovasi dan teknologi tetapi juga oleh bakat atau talent. Golongan yang mempunyai bakat inilah yang mencetuskan penciptaan kekayaan dan pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. They are the intellectual powerhouse behind wealth creation and economic growth of a nation.

13. Oleh itu Universiti mempunyai peranan bukan sahaja melahirkan graduan yang cemerlang akademiknya, tetapi graduan yang berbakat untuk negara yang disediakan dengan segala kemahiran yang diperlukan dalam abad ke 21 ini. Kemahiran-kemahiran ini penting sebagai membolehkan negara bersaing dan bekerjasama di peringkat global (compete and cooperate) dalam persekitaran ledakan maklumat yang pelbagai. Dan sebagaimana kita ketahui" kemahiran ini di simpulkan sebagai kemahiran 4 C iaitu:

(i). Pemikiran kritikal dan penyelesai masaalah (critical thinking and problem solving)

(ii). Keberkesanan berkomunikasi (effective communication)

(iii). Collaboration and team building - boleh bekerja secara berkesan termasuk dengan kumpulan yang berbeza pandangan, dan

(iv). Kreativiti dan inovasi.

14. Dalam konteks ini, universiti perlulah memperkemas semua program pengajian berteras hasil pembelajaran bagi memastikannya berada di atas landasan yang betul. Inisiatif tersebut saya percaya mampu menghasilkan siswazah berkeyakinan kerana ilmunya, mahir berfikir dan menangani masalah, petah berbicara termasuk berkomunikasi dalam bahasa asing, mengaplikasi ICT secara bermanfaat, berdaya usahawan, berketerampilan dalam sukan, kesenian dan keterlibatan sivik, bertanggungjawab sosial serta menghayati nilai murni dan beretika. Selain kualiti kurikulum yang mantap, beberapa inistiatif tambahan boleh dilakukan bagi memperkukuhkan kreativiti khususnya daya usahawan di kalangan para pelajar. Dalam hubungan ini, penubuhan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (UKM-CESMED) yang menyahut rangsangan Pelan Transformasi Ekonomi Negara boleh dilihat sebagai satu usaha strategik kerana ia memupuk penyediaan modal insan yang inovatif dan berdaya keusahawanan melalui program pendidikan dan latihan yang berkualiti.

Menyediakan Pendidikan Tinggi Secara Berkesan dan Produktif

15. Walaupun kita menggembleng pelbagai prinsip baharu untuk mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi, kita harus bergerak bersama-sama untuk memperteguhkannya dengan tunjangan budaya dan nilai tradisi yang positif. Bagi kita, kesinambungan kemodenan dengan tradisi menjadi teras kepada transformasi negara. Kemajuan dan pembangunan, mesti dibina dan wujud dengan roh serta semangat jati diri demi kesempurnaan dan kesejahteraan bangsa dan negara. Dalam erti kata lain, sains dan teknologi bukanlah jawapan mutlak kepada setiap persoalan masyarakat yang semakin membelenggu, sebaliknya kita juga memerlukan nilai dan dorongan kemanusiaan yang tinggi lagi kukuh.

16. Pujian perlu diberikan kepada UKM kerana terus menyerlahkan kekuatannya termasuk dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan, mempertaruh tanggungjawab sebuah universiti kebangsaan yang sentiasa memartabatkan nilai sebagai landasan ekosistem kehidupan yang sejahtera. Dengan penubuhan dan pemerkasaan pusat kecemerlangannya iaitu Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Institut Kajian Oksidental (IKON), Institut Islam Hadhari (HADHARI), Institut Kajian Etnik (KITA), Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB), Pusat PERMATApintar dan Pusat Pemerkasaan Remaja, saya percaya UKM sangat subur dengan sumber intelektualnya, yang mampu menggubal jawapan terhadap pelbagai persoalan kemasyarakatan dan kemanusiaan yang dihadapi negara dan di kancah antarabangsa.

17. Dengan menjadikan Pembinaan Negara Bangsa sebagai nic peneraju ekosistem ilmunya, UKM diiktiraf terkehadapan dalam membentuk keutuhan jati diri dan penghayatan gugusan nilai murni dalam kalangan warganya. Saya percaya UKM mampu menegaskan keseimbangan modenisasi negara dengan tradisi seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara dan Rukun Negara, mengimbau masyarakat bahawa itulah inti sari jati diri kita dalam pembinaan sebuah bangsa atau nation building. Hanya melalui simbiosis, gabungan harmoni dan keseimbangan antara pemodenan dengan tradisi, suatu penegasan proses kesinambungan dalam perubahan bangsa, dapat menjadi penentu kepada pembinaan sebuah peradaban bangsa moden, dari perspektif yang kita inginkan.

Mengupaya Penyelidikan dan Inovasi dalam Pemajuan Masyarakat

18. Selain pengeluaran modal insan, aktiviti penyelidikan merupakan nadi kedinamikan dan inovasi sesebuah universiti. Ini bermakna, penyelidikanlah yang akan memastikan universiti itu terus relevan melalui penciptaan ilmu-ilmu baharu dan segar. Dalam hubungan ini, kita perlu memastikan konteks penyelidikan yang dilaksanakan mesti mengambil kira faktor-faktor signifikan seperti berimpak tinggi selain ia mampu diterjemahkan sebagai jawapan kepada permasalahan masyarakat semasa, dalam dan luar negara. Dalam mengupayakan penyelidikan dan inovasi oleh universiti untuk masyarakat ini, kementerian telah memperkenalkan tujuh platform penyelidikan berimpak tinggi iaitu pemanasan global, penyakit berjangkit, perubatan tropika, keselamatan tenaga dan air, kecukupan makanan, pembuatan termaju dan tambah nilai serta ICT. Selain itu, bidang-bidang seperti kecekapan tenaga dan tenaga diperbaharui juga perlulah diberi perhatian berat memandangkan kedua-duanya merupakan elemen penting ke arah mencorakkan ekonomi negara di masa hadapan. Ini kerana kelangsungan ekonomi negara sangat berkait rapat dengan bekalan tenaga yang mencukupi dan penggunaannya secara efektif dan cekap. Dalam hal ini, UKM diharap dapat menentukan peranan mereka untuk membangunkan nic yang berkaitan khususnya dua platform penyelidikan yang sedang diterajuinya iaitu pemanasan global dan ICT.

19. Tidak dinafikan, penentu utama kemakmuran ekonomi bagi kebanyakan negara, adalah produk dan proses ekonomi, yang mengalami evolusi melalui teknologi dan inovasi. Sehubungan dengan itu, dalam usaha meningkatkan keupayaan mencipta dan menginovasikan produk dan proses baharu, pengwujudan inkubator yang dapat menjana industri, paten dan perniagaan baharu telah diperkenalkan melalui insitiatif Pelan Pembangunan Modal Insan Inovasi. Berdasarkan perancangan hasil segera (Quick Wins) pelan tersebut, lapan inkubator akan diwujudkan iaitu satu inkubator bagi setiap universiti penyelidikan dan tiga inkubator yang dikongsi bersama oleh universiti-universiti di zon utara, zon tengah dan zon selatan. Selain itu, KPT juga bercadang melantik 100 orang pasca doktoral warganegara Malaysia dan 100 orang pasca doktoral bukan warganegara Malaysia setiap tahun untuk tempoh lima tahun mulai tahun 2011. Saya percaya, sebagai sebuah universiti bertaraf universiti penyelidikan yang mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri, UKM mampu memainkan peranan dan sumbangannya yang kritikal dalam menjayakan ruang inovasi terbaharu ini.

Memanfaat Ilmu dan Kemahiran untuk Kesejahteraan Masyarakat

20. Sebuah universiti dalam konteks dunia moden, tidak lagi dianggap sebagai sebuah “menara gading” iaitu eksklusif, megah dan terasing daripada masyarakatnya. Sebaliknya, universiti harus menjadi salah satu daripada komponen ekosistem masyarakat yang terpadu, memberi pengukuhan kepada masyarakat di persekitaran, negara dan dunia global. Kewujudan universiti amat perlu dirasai kehadirannya dan kehilangan fungsinya akan amat dirasai kerugiannya oleh masyarakat dan negara. Justeru dalam hal ini, saya yakin, universiti sebagai institusi ilmu, bukan sahaja memiliki himpunan tenaga pemikir dan intelektual, untuk mengasuh modal insan berkualiti tinggi, bagi memenuhi tuntutan pasaran dan industri, sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, bahkan membina gagasan dan idea konkrit serta bermakna bagi memimpin negara menyelesaikan pelbagai kemelut dan permasalahan semasa. Pusat PERMATApintar yang ditubuhkan di UKM pada 1 Januari 2010 misalnya, membuktikan bahawa universiti seperti UKM berkeupayaan menyediakan pendidikan holistik untuk golongan pelajar pintar cerdas yang selama ini kurang diberi perhatian oleh pendidikan arus perdana. Selain itu, pembangunan sosial dan masyarakat oleh universiti perlu diperkukuhkan melalui jaringan antarabangsa dan dalam hal ini, UKM telah menterjemahkannya melalui penyertaan dalam The Tailloires Network. Ini sekaligus berupaya mengantarabangsakan peranan universiti dalam soal jalinan dengan masyarakat dan ia wajar disambut oleh universiti-universiti lain.

21. Walaupun pada prinsipnya, ahli akademik wajib menjalankan penyelidikan untuk meneroka ufuk ilmu, membina kepakaran dan meneraju kepimpinan intelektual, masih banyak ruang dalam penyelidikan yang boleh dikembangkan untuk manfaat masyarakat awam. Penyelidikan bersifat fundamental boleh digembleng bersama penyelidik bersifat gunaan untuk kesejahteraan masyarakat. Ahli akademik perlu mengubah set minda dari ‘ilmu untuk ilmu’ kepada ‘ilmu untuk masyarakat dan negara’. Dalam konteks ini, hala tuju penyelidikan perlu sejajar dengan isu mengupas persoalan yang dihadapi oleh komuniti setempat, bangsa serumpun dan masyarakat sejagat. Isu-isu asas yang masih menghambat pembangunan komuniti dan ekonomi negara seperti pembinaan negara bangsa, pembangunan teknologi tempatan (indigenous), sains untuk masyarakat, memperkukuh warisan dan ketamadunan bangsa, pembangunan sumber manusia berilmu, dan memperkukuhkan daya saing negara merupakan isu pokok yang masih memerlukan penyelidikan yang mendalam.

22. Pendekatan penyelidikan yang bersifat multi-bidang, pembinaan pasukan penyelidik bersifat kebangsaan berasaskan isu pokok atau sektor penting, dan meningkatkan produk atau hasilan penyelidikan yang boleh dimanfaatkan terus oleh masyarakat seharusnya menjadi agenda kritikal penyelidikan universiti. Membawa pengetahuan, kepakaran dan kemahiran yang terdapat di universiti untuk faedah masyarakat melalui jangkauan dan perkhidmatan perlu dijadikan agenda baru dalam ‘sistem penyelidikan universiti’. Dalam konteks ini, kontinum penyelidikan perlu dirancang daripada aspek huluan (strategi dan aktiviti penyelidikan) hingga ke peringkat hiliran (penyaluran dapatan kepada masyarakat dan pengkomersialan). Interaksi dan kerjasama universiti – industri - masyarakat perlu dijalin secara berterusan melalui mekanisme kerjasama, rakan kongsi dan penglibatan pihak berkepentingan dalam suatu rantai nilai penyelidikan yang jelas.

23. Dalam usaha mengangkatkan lagi peranan dan sumbangan ahli akademik dalam konteks masyarakat juga negara dan bersesuaian dengan kesejagatan kerjaya ahli akademik, universiti perlu menggalakkan mereka terlibat dengan mobiliti akademik untuk menyumbang kepakaran kepada sektor-sektor perkhidmatan awam yang lain. Dan dalam masa yang sama, ahli-ahli akademik yang terlibat dalam mobiliti ini sama ada dalam bentuk peminjaman, berkhidmat secara pentadbiran dan sebagainya, perlulah diberikan pengiktirafan dan kedudukan yang sewajarnya. Ini kerana sepanjang tempoh mobiliti tersebut, mereka turut memperoleh ilmu dan kemahiran yang baharu dan itu semua boleh dimanfaatkan oleh universiti sekembalinya mereka nanti.

Kepemimpinan dan Pengurusan Bakat Komuniti Berilmu

24. Dalam persekitaran baharu, universiti dituntut mengorak pembaharuan dan keberanian, melakukan rejuvenasi, memekar dan menyuburkan semula budaya akademia yang tulen. Sejajar dengan namanya, universiti harus menjadi medan yang meraikan perdebatan semua idea dan pemikiran secara ilmiah dan terbuka. Ruang yang luas harus dipaparkan kepada idealisme positif untuk berkembang memandangkan komitmen mencari kebenaran sememangnya melandasi kewujudan sesebuah universiti. Suasana ini akan membentuk kecemerlangan di universiti dan ia hanya muncul seandainya dibudayakan dalam kampus dan didukung oleh semua pemegang berkepentingan.

25. Bagi golongan mahasiswa, kita semua mengakui mereka adalah golongan muda yang penuh dengan idealisme dan mungkin juga sedang mencari identiti sendiri. Dalam perayauan itu, mereka akan menemui pelbagai perkara yang mencabar idealisme yang sedang berkembang dalam jiwa. Mereka ingin menyuarakan sesuatu yang mengusik kalbu mereka. Sebuah universiti yang diterajui kepimpinan berjiwa besar dan dinamik, harus menyediakan ruang yang pelbagai untuk membolehkan warga mudanya menyuarakan pandangan. Izinkan pemimpin mereka menyuarakan pandangan yang mereka fikir mewakili ahlinya. Iktiraf peranan dan kebolehan mereka. Walau bagaimanapun dalam masa yang sama, kita perlu memberi perhatian kepada kebimbangan dan amaran oleh Max Weber bahawa, janganlah semua perkara perlu dirasionalisasikan tanpa berpijak dan berpegang kepada nilai-nilai utama kita. Ini kerana rasionalisasi tanpa sempadan akan memusnahkan nilai dan kepercayaan yang menjadi tiang seri kepada keutuhan negara selama ini.

26. Selain itu, pimpinan utama universiti perlu memimpin budaya dan aspirasi universitinya, yang menyemarakkan keazaman dan kesungguhan, menggesa ahlinya berlumba-lumba meningkatkan lonjakan prestasi dan menempah kredibiliti. Merekalah yang menjadi peniup semangat dan penunjuk jalan serta model ikutan dalam pembudayaan kecemerlangan universiti. Saya yakin UKM berjaya mewujudkan persekitaran ini, apabila seluruh warganya berpegang teguh kepada nilai perubahannya “Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan”. Sebagai organisasi naungan, UKM memaparkan tanggungjawabnya menyediakan sekitaran yang memberi ruang menyubur segala kebolehan warganya. Warga UKM harus yakin bahawa inilah tempat kebolehan dan bakat mereka dipupuk, labuhan warga berkarya dan berjaya dalam karyaan mereka.

27. Kepemimpinan akademik pula harus muncul berupaya mendapat penghormatan, menjadi rujukan dan memperoleh sanjungan daripada komuniti akademik keseluruhan. Kemampuan membangun dan menjalin jaringan intelektual termasuk di peringkat antarabangsa, bukan sahaja mengukuhkan citra universiti, malah mengundang penjanaan dana, justeru keyakinan mereka terhadap kehandalan akademia dan penyelidik di universiti kita.

28. Kepekaan pemimpin yang mengurus komuniti berilmu ini adalah prasyarat yang utama untuk kecemerlangan. Fahami aspirasi mereka dan bangunkan budaya kerja sebagai sebuah pasukan yang besar yang semuanya terlibat, tergolong dan terangkum. Memiliki dua orang Profesor Ulung, 253 Profesor, 20 Felo Utama, 421 Profesor Madya, 21 Felo Kanan, 474 Pensyarah Kanan, 644 Pensyarah, 146 Tutor, 101 Guru Bahasa dan 7,376 kakitangan pengurusan dan pentadbiran, sebenarnya UKM mempunyai kumpulan bakat yang sangat kaya. Justeru, bakat warganya harus ditadbir dan diurus dengan mengambil pelbagai pertimbangan. Saya gembira di UKM, pengurusan bakat dalam pembangunan sumber manusia diberi perhatian secara mendalam. UKM merencana Pelan Pengurusan Bakat, yang komprehensif dalam menangani persoalan bagaimana bakat yang ada harus ditadbir dan diurus sebaik mungkin demi memberi nilai besar kepada Universiti. Ini termasuk pengwujudan kumpulan bakat (talent pool) bagi memenuhi keperluan pelapisan kepimpinan dan peralihan kuasa.

29. Saya berpendapat, pengwujudan kumpulan ini sangat fundamental bagi membolehkannya memiliki banyak pilihan yang terbaik apabila berlaku keperluan mengisi barisan kepimpinan. Penentuan dalam meletakkan seseorang ahli dalam kumpulan ini harus dibuat secara telus, berasaskan kriteria yang objektif, berdasarkan merit, berintegriti tinggi, terbukti berkompetensi, adil dan berhemah tinggi. Setiap ahli kumpulan bakat harus dipupuk dengan disediakan pelan latihan yang bersesuaian. Pihak pengurusan tertinggi perlu mengambil kira peralihan kuasa secara proaktif, perancangan berjangka panjang dan bukannya bertindak apabila terdapatnya kekosongan jawatan. Pembentukan pelan ini adalah satu langkah strategik yang memperlihatkan pengurusan beriltizam dalam memastikan kesinambungan kegemilangan UKM.

Autonomi Universiti

30. Pada pertengahan tahun lalu, saya mengumumkan bahawa lima buah universiti penyelidikan di negara ini dijangka mendapat autonomi penuh menjelang tahun 2015. Autonomi bakal diberikan atas keyakinan kerajaan terhadap keupayaan dan kebertanggungjawaban universiti dalam mentadbir urus dengan penuh integriti dan bertahap cemerlang. Langkah ini adalah selaras dengan rancangan kerajaan untuk memberi autonomi secara berperingkat kepada institusi pengajian tinggi sebagaimana yang dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10). Langkah memberi autonomi ini adalah selari dengan amalan yang dilakukan oleh universiti-universiti ternama kerana ia menggalakkan kecemerlangan akademik untuk menjadi lebih inovatif dan kreatif. Langkah memberi autonomi ini adalah satu daripada usaha di bawah Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (2007-2020).

31. Sejak pengumuman tersebut, panel penilai telah dilantik dan mereka memulakan penilaian ke atas beberapa buah universiti dari segi kesediaan universiti berkenaan dianugerah autonomi. Beberapa aspek penting dilihat dalam proses penilaian ini termasuk kepimpinan universiti, governans, kawalan mutu, dan kemampuan untuk menjana pendapatan.

32. UKM adalah antara kumpulan pertama universiti yang dinilai dalam projek rintis audit autonomi. Setakat ini saya difahamkan panel penilai berpuas hati dengan penilaian yang dijalankan di sini. Laporan penilaian telah pun dikemukakan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk pertimbangan selanjutnya. Saya percaya UKM sentiasa bersiap siaga dan sudah bersedia jika diberi anugerah ini. Di sini, saya juga merakamkan penghargaan kementerian kepada UKM, yang telah membantu membangun dan menggubal Code of University Good Governance (CUGG) dan seterusnya menghasilkan University Good Governance Index (UGGI) iaitu alat yang diaplikasi dalam menilai kesediaan institusi untuk dianugerah status autonomi.

33. Satu lagi kejayaan UKM adalah memperoleh status swaakreditasi pada April 2010. Status berprestij ini saya kira membantu UKM menjadi lebih bingkas menjana ilmu, mencipta dan melakukan inovasi yang menyumbang secara terus kepada pertumbuhan modal insan dan ekonomi negara. Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, Harapan

34. Semua yang saya nyatakan ini adalah gesaan untuk terus menjadikan sektor pengajian tinggi termasuk UKM tetap relevan, dirujuk dan dihormati bukan sahaja di peringkat kebangsaan dan rantau malah global. Seperti saya nyatakan pada awal syarahan ini, bahawa UKM sebagai sebuah universiti kebangsaan, tentunya mempunyai peranan serta tanggungjawab istimewa dan tersendiri. Sebagai universiti yang mendukung jati diri kebangsaan negara, UKM harus terus berjuang dan mampu membuktikannya sebagai universiti terpilih yang memartabat bahasa Melayu serta menyejagat ilmu dalam acuan kebangsaan. Saya faham, pembentukan jati diri bangsa Malaysia dengan menggunakan bahasa Melayu banyak cabarannya.

35. Dalam mendukung misi ini, saya pasti UKM tidak pernah tergelincir kerana sedar bahawa perjuangan bahasa Melayu terus gagah berasaskan tiga landasan, iaitu pertama, ilmu global tidak relevan selagi tidak ditafsir, diadun dan dimanfaatkan dalam konteks tempatan. Proses pemikirannya disalur melalui bahasa watan yang menjadi bahasa kebangsaan termasuk bahasa Melayu. Kedua, penghormatan dunia kepada kepelbagaian, termasuk kepelbagaian bahasa, memberi peluang untuk bahasa lain berkembang di persada antarabangsa; dan ketiga, peradaban dunia tidak akan berkembang jika hanya didominasi satu bahasa. Justeru, bahasa Melayu tetap utuh martabatnya dengan pelbagai peranan. Ini kerana ia adalah bahasa istana, bahasa adat istiadat, bahasa perdagangan, bahasa ilmu dan bahasa wahana pembentukan jati diri kebangsaan.

36. Saya difahamkan UKM telah terus melaksanakan beberapa inisiatif untuk memartabatkan bahasa Melayu. Antaranya adalah pengwujudan sebuah jawatankuasa Penataran Bahasa Melayu (PENABAYU) yang menyelaras aktiviti memartabatkan bahasa Melayu seperti terjemahan karya-karya besar dunia ke bahasa Melayu dan kajian berterusan mengenai pendaulatan bahasa Melayu. Ini tentu sekali tidak menafikan kepentingan bahasa dunia yang lain diperkukuhkan dalam penguasaan warga universiti. Menerusi projek Kod Amalan Bahasa Melayu di Persada Antarabangsa (KAMPA) yang berpangkalan di ATMA, UKM berusaha mengantarabangsakan bahasa Melayu dengan menghasilkan buku panduan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul yang menjadi rujukan masyarakat antarabangsa. ATMA juga, telah mengusahakan jurnal terjemahan yang mengandungi artikel-artikel penting mengenai pelbagai bidang ilmu dalam berbagai-bagai bahasa diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

37. Akhir kata, UKM adalah lambang keunggulan ikon identiti negara yang menabur bakti, menjadi tonggak kesuburan akal budi, jati diri kebangsaan dan perpaduan negara. Ekosistem Ilmu UKM terbentuk berpandukan enam tonggak kecemerlangan iaitu governans berautonomi dan berakauntabiliti, kepemimpinan berkaliber, bakat berbudaya cemerlang dan profesional, sistem pengajaran pembelajaran menghasilkan siswazah yakin dan berkompetensi global, penyelidikan berinovasi menjana kekayaan dan kesejahteraan sosial, serta keterlibatan dalam masyarakat untuk mencurah bakti bagi pembangunan. Semua ini akan melonjak dan memacu warisan ilmu UKM yang terbina selama empat dasawarsa ke puncak kegemilangan. Ekspo Pemacuan Kegemilangan Warisan Ilmu pada hari ini jelas menunjukkan kewibawaan UKM sebagai sebuah universiti ulung di negara ini. Syabas diucapkan kepada seluruh warga UKM.

38. Pada kesempatan ini, saya suka mengungkapkan kembali harapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor. Titah Baginda, UKM milik negara dan mesti mencerminkan hasrat negara. UKM mesti menjadi perintis bagi kerangka kewujudan yang selesa dengan misinya, komuniti dan kosmologinya serta mampu menjadi tarikan dunia. Di peringkat global, UKM mesti cemerlang namun tidak terasing dan tetap berakar umbi pada masyarakatnya. Akarnya terpasak di tanah airnya, jangkauannya menerjah ufuk persada dunia. Itulah takrifan universiti unggul dalam acuan sendiri yang harus terpahat kukuh di dalam hati dan sanubari kita semua.

39. Sekali lagi saya mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada UKM atas dedikasi dan kesungguhan mereka menjayakan majlis pada hari ini. Terima kasih juga atas jemputan kepada saya menyampaikan Syarahan Utama pada kali ini. Ia merupakan satu penghormatan dan harapan saya, agar UKM terus maju dan menjadi sebuah universiti yang sentiasa menjadi kebanggaan negara dan rakyatnya.

40. Dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, saya merasmikan Ekspo Pemacuan Kegemilangan Ilmu UKM 2011. Sekian, saya sudahi syarahan saya dengan Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bibliografi

DYMM Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir. 2010. Universiti Untuk Negara. Titah Perdana DYMM Tuanku Canselor. Bangi: Penerbit UKM.

Kerajaan Malaysia. 2004. Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Melangkau 2020. Putrajaya: Kementerian Pengajian Tinggi.

Mohamed Khaled Nordin. 2010. Pengajian Tinggi dan Jaminan Masa Depan Negara. Putrajaya: Kementerian Pengajian Tinggi.

Mohamed Khaled Nordin. 2011. Amanat Tahun 2011 Pengajian Tinggi ke Arah Transformasi Negara. Putrajaya. Kementerian Pengajian Tinggi.

Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Instrumentasi UKM. 2011. Penyelidikan dan Inovasi di UKM. Bangi: Penerbit UKM.

Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. 2009. Membina Momentum Menatar Keunggulan. Ekosistem Ilmu UKM sebagai Wahana. Bangi: Penerbit UKM.

Universiti Kebangsaan Malaysia. 2009. Pelan Pengurusan Bakat UKM. Bangi: PPKK UKM.

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan