suria

KPT Beri 'Lampu Hijau' Kepada UPM Pilih Pelajar Bidang Pertanian

BINTULU: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberikan kuasa autonomi kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi pengambilan pelajar untuk program Diploma dalam bidang pertanian tanpa perlu melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sektor pertanian menghadapi cabaran besar ekoran kesan pemanasan global dan permintaan makanan yang semakin meningkat.

"Justeru itu, kita perlu membangunkan modal insan dalam bidang pertanian bagi mengatasi masalah ini dengan meningkatkan akses mengenainya seperti laluan kepada kerjaya yang lebih jelas.

"Universiti sebenarnya boleh memainkan peranan 'turun ke bawah' untuk menarik lebih ramai pelajar yang berminat dalam bidang pertanian.

"Kita mahu melahirkan lebih ramai pelajar yang berbakat dan mempunyai pemikiran berinovatif," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Persediaan Diploma dan merasmikan Dewan Sri Kenyalang di UPM Kampus Bintulu (UPMKB)) di sini, Khamis.

Khaled berkata, pendekatan itu dapat menambah bilangan pelajar tempatan melanjutkan pengajian di universiti dan melahirkan pelajar yang terbaik terutama dalam bidang pertanian.

"Ini bukan bertujuan untuk melahirkan petani atau penternak moden yang mempunyai diploma atau ijazah semata-mata tetapi memperlihatkan program profesional dalam bidang pertanian meliputi pelbagai aspek seperti sains, teknologi, alam sekitar dan perniagaan.

"Bagaimanapun pertimbangan ini bergantung pada UPM untuk membuat perubahan terhadap struktur organisasi termasuk membuat peluasan dengan membuka penyertaan kepada pelajar antarabangsa dalam bidang itu," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Datuk Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi berkata, perubahan struktur organisasi dilakukan secara berperingkat-peringkat.

"Proses pengambilan pelajar secara langsung itu (tanpa melalui UPU) dijangka dilakukan secara menyeluruh di UPM menjelang awal tahun depan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh KPT," katanya.

Mengenai Program Persediaan Diploma, Dr Radin berkata, ia ditawarkan di UPMKB sebagai platform terbaik untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menyambung pengajian ke peringkat Diploma dan seterusnya.

"Program ini dilihat sebagai salah satu pengisian kerangka yang lebih besar iaitu konsep 'UPM Care' yang menterjemahkan keupayaan dan kewibawaan universiti lebih strategik dalam menggarap pelbagai kepakaran dan ilmu untuk membangunkan masyarakat dan tamadun lebih sejahtera," katanya.

Beliau menambah, UPM mensasarkan seramai 80 pelajar akan mengikuti satu sesi pengajian Program Persediaan Diploma.

"Pengambilan pelajar pertama program tersebut akan dibuat pada Jun ini," katanya.

Lepasan Program Persediaan Diploma di UPMKB berpeluang ditawarkan pengajian peringkat Diploma seperti Diploma Pertanian, Diploma Perhutanan, Diploma Pengurusan Perladangan Makanan dan Diploma Perniagaan Tani.

Majlis dihadiri oleh Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Negeri Sarawak, Datuk Talib Zulpilip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi yang juga Ahli Lembaga Pengarah UPM, Datuk Rohani Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Profesor Datin Paduka Dr Aini Ideris dan Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Makanan UPKMB, Profesor Dr Japar Sidik Bujang.

Artikel Lain