suria

Jangan Jadi Seperti Kuda Lumba Yang Terbatas Penglihatan, Titah Raja Muda Kepada Ahli Akademik

KANGAR: Ahli-ahli akademik perlu melihat pelbagai perspektif secara terbuka dan mengelak diri menjadi seperti kuda lumba yang terbatas penglihatan mereka, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menurut baginda, kuda lumba tidak dapat melihat persekitaran yang lebih luas dengan mudah kerana wujudnya penghalang di mata mereka.

"Mengambil iktibar daripada desakan dan tekanan masyarakat yang semakin mencabar, seseorang ahli akademik yang unggul hendaklah melihat persekitaran mereka dengan lebih terbuka," titah baginda pada majlis Anugerah Seri Gemilang Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 2010 di sini malam Khamis.

Pada majlis itu lebih 200 kakitangan UniMAP anugerah perkhidmatan cemerlang 2010 dan anugerah kecemerlangan selain 17 individu yang menerima anugerah khas UniMAP.

Antara penerima anugerah khas UniMAP ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis Jafperi Othman, Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Datuk Zamani A.Rahim, Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Ghazali Md Amin dan Pengarah Kanan Operasi Perniagaan dan Sokongan Jualan Western Digital (M) Sdn Bhd bagi kawasan Asia, Datuk Syed Hussian AlJunid.

UniMAP turut mengumumkan perlantikan aktivis sukan Muhamad Muqharabbin Mokhtarudin sebagai Duta Sukan UniMAP yang bakal menyelesaikan misi Ekspedisi '7 Puncak 7 Benua 7 Nilai' tidak lama lagi. - BERNAMA

Artikel Lain