suria

Naik Taraf Kolej TAR Tak Perlu Tergesa-gesa - Soi Lek

KUALA LUMPUR: Usaha menaik taraf Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR) menjadi kolej universiti tidak akan dilakukan dengan cara tergesa-gesa, kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau berkata, walaupun kolej milik MCA itu yang beroperasi sejak 40 tahun lepas memenuhi kriteria dari sudut kurikulum dan cemerlang dalam kualiti memberikan latihan kepada pelajar, terdapat faktor lain yang perlu diperhalusi dan dibincangkan dengan kerajaan sebelum hasrat itu tercapai.

"Apabila kita teliti dan perhalusi kurikulum termasuk kandungannya kita dapati ia memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

"Kita tetapkan bahawa walaupun ia dinaik taraf menjadi kolej universiti, bantuan yang disalurkan oleh kementerian melalui Kementerian Kewangan kepada kolej ini dapat dikekalkan, selaras tujuan utama TAR diwujudkan pada 1969 iaitu untuk menyediakan peluang pendidikan kepada golongan yang kurang berkemampuan," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat MCA, di sini Rabu.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis penyerahan biasiswa pengajian berjumlah RM8 juta oleh Presiden Kuala Lumpur Metropolitan Universiti Kolej Datuk Idrus Mohd Satha untuk tabung pendidikan Pemuda MCA. Hadir sama Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong yang juga Timbalan Menteri Pelajaran.

Chua berkata, kejayaan berterusan kolej itu sehingga kini adalah disebabkan bantuan daripada kerajaan yang mendorong pengurusan kolej untuk memastikan kadar yuran pengajian adalah rendah dengan jaminan kualiti pendidikan sentiasa dipertahankan.

Katanya, untuk itu pihaknya masih perlu berbincang dengan kerajaan agar bantuan yang diberikan tidak dihapuskan sekiranya kolej itu dinaik taraf menjadi kolej universiti kelak.

"Kita tidak tetapkan tarikh (untuk naik taraf) kerana kita tidak seharusnya tergesa-gesa, yang penting kita nak pastikan apabila ia dinaikkan taraf menjadi kolej universiti, ia bukan sekadar memenuhi syarat bahkan kita terus menerima bantuan daripada kerajaan," katanya.

Kolej TAR kini mempunyai lima kampus cawangan, masing-masing satu di Pulau Pinang, Perak, Johor, Pahang dan Sabah dan setakat ini telah melahirkan lebih 140,000 graduan dalam pelbagai bidang.

MYS AR MAI 11/04/2011 18-24ST

Artikel Lain