suria

USM Perkenal Papan Putih Interaktif Tingkatkan Kaedah Pengajaran

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) pada Khamis memperkenalkan pembelajaran melalui papan putih interaktif atau dikenali sebagai 'Smart Board' menjadikan kaedah pengajaran dan pembelajaran lebih menarik untuk semua pelajar.

Sekumpulan penyelidik USM diketuai Dr Termit Kaur Ranjit Singh telah membangunkan perisian kursus yang digunakan dalam kaedah pembelajaran melalui papan interaktif itu untuk tingkatkan kaedah pengajaran dan pembelajaran.

Katanya kumpulan itu telah memulakan kajian berkenaan untuk mata pelajaran Matematik dan Sains sejak 2007, dengan objektif utama kajian itu bagi membantu guru menggunakan kaedah teknologi ketika mengajar di dalam kelas dan proses pembelajaran.

"Kami dalam proses untuk mematenkan produk ini sebelum memulakan perbincangan dengan Kementerian Pelajaran untuk menggunakan papan interaktif itu di semua sekolah di Malaysia," katanya selepas membuat demonstrasi papan interaktif itu kepada wartawan di sini Khamis.

Bagaimanapun, Termit berkata harga bagi seunit papan putih itu antara RM6,000 hingga RM8,000 yang meliputi kandungan program seperti Sains, Matematik, Ekonomi Asas, Perdagangan untuk pelajar tingkatan empat dan sejarah untuk tingkatan dua dan empat.

Beliau berkata guru sekolah perlu menghadiri kursus untuk mempelajari penggunaan papan interaktif itu sebelum diaplikasi di dalam kelas dan pada masa ini banyak sekolah swasta telah menggunakannya.

"Tidak mudah bagi seseorang guru untuk memastikan semua pelajar memberi tumpuan di dalam kelas sekiranya pelajaran yang diajar tidak menarik minat mereka," katanya dan menambah kira-kira 350 guru di kawasan utara telah menguji papan interaktif itu.

Katanya sekolah yang telah menguji papan interaktif itu memberi reaksi positif kerana ia sesuai digunakan di peringkat pra sekolah hingga sekolah menengah.

Katanya antara manfaat penggunaan papan interaktif itu ialah kandungannya boleh diubahsuai, penambahbaikan dalam penyediaan kandungan seperti menerusi animasi, pelangganan dan pembayangan dan pembelajaran menerusi tayangan video.

Smart Board itu sama seperti papan putih konvensional dan ia dilengkapi pemadam dan penanda tetapi tiada dakwat, cetakan dan kertas terbabit dalam proses pembelajaran itu.

Smart Board mesra pengguna itu perlu disambung ke komputer dan program komputer akan dipindahkan ke papan interaktif itu menggunakan projektor. - BERNAMA

Artikel Lain