suria

Pencalonan Anugerah Akademik Negara 2010 Kini Dibuka

PUTRAJAYA: Pencalonan bagi Anugerah Akademik Negara (AAN) 2010, iaitu anugerah tahunan yang memberi pengiktirafan kepada ahli akademik Institusi pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau swasta (IPTS) yang mencapai kejayaan yang cemerlang dalam bidang masing-masing, kini dibuka.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Profesor Dr Rujhan Mustafa berkata, calon-calon berwibawa dalam bidang masing-masing dan mencapai kejayaan utama sepanjang tahun lepas, boleh mula membuat permohonan untuk dicalonkan ke anugerah itu.

Beliau berkata, enam kategori anugerah yang ditampilkan ialah Anugerah Tokoh Akademik Negara; Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal; Anugerah Penerbitan Buku; Anugerah Inovasi dan Pengkomersilan Produk; Anugerah Seni dan Kreativiti; dan Anugerah Pengajaran.

"Bagi Anugerah Tokoh Akademik Negara, ia berdasarkan kepada pencapaian dan sumbangan kumulatif calon semasa dan selepas kerjaya akademik masing-masing," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Menurutnya, penilaian bagi setiap kategori akan dilakukan oleh satu jawatankuasa pemilih yang dianggotai oleh pakar-pakar dari institusi pengajian tinggi, tokoh-tokoh dari sektor swasta dan individu-individu yang pakar dalam bidang masing-masing.

Dr Rujhan berkata, hasil penilaian jawatankuasa itu, calon-calon yang layak akan dikemukakan kepada jawatankuasa induk AAN 2010 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi untuk diteliti dan seterusnya diperakukan kepada menteri pengajian tinggi.

Beliau juga berkata, hanya pencalonan yang mencapai markah sekurang-kurangnya 75 peratus sahaja akan ditimbang sebagai pemenang.

Katanya, pemenang bagi Anugerah Tokoh Akademik Negara akan menerima hadiah wang tunai RM80,000 beserta trofi dan sijil manakala pemenang-pemenang bagi kategori lain menerima wang tunai RM20,000, trofi dan sijil dalam majlis yang akan diadakan sekitar Julai yang dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya lagi, pihak kementerian telah menerima lebih banyak penyertaan daripada tahun ke tahun sejak AAN dimulakan lima tahun lepas.

Maklumat dan borang permohonan AAN 2010 boleh dapati menerusi laman web Kementerian Pengajian Tinggi http://www.mohe.gov.my/aan2010, dan borang permohonan perlu sampai kepada urusetia selewat-lewatnya pukul 5 petang pada 24 Mei ini.

Artikel Lain