suria

Universiti Limkokwing Tawar Biasiswa Kepada Penuntut Cemerlang Kaum India

KUALA LUMPUR: Penuntut kaum India yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia baru-baru ini serta memiliki rekod baik aktiviti kokurikulum, kini boleh memohon biasiswa bagi melanjutkan pelajaran di Universiti Limkokwing, Cyberjaya.

Pengarah Kandungan Industri Media Universiti Limkokwing Faridah Hameed berkata sejumlah 120 biasiswa penuh dan separa bernilai lebih RM4.74 juta ditawarkan kepada penuntut yang layak.

"Biasiswa ini meliputi 30 program pengajian popular seperti seni reka, multimedia, komunikasi, arkitek, perniagaan serta teknologi dan komunikasi maklumat (ICT)," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat MIC di sini, Jumaat.

Turut hadir Pengerusi Biro Pengajian Tinggi MIC D. Mahaganapathy.

Faridah berkata setakat ini, Yayasan Limkokwing Bagi Kecemerlangan Kreatif menyumbang biasiswa bernilai lebih RM50 juta kepada golongan muda di Malaysia dan luar negara.

Sementara itu, Mahaganapathy berkata belia India yang mendapat keputusan cemerlang perlu merebut peluang ini.

Beliau juga berkata permohonan dibuka mulai hari ini dan borang biasiswa boleh diperoleh dari ibu pejabat MIC dan pejabat parti di peringkat negeri. - BERNAMA

Artikel Lain