suria

Melaka Sumbang RM2,000 Bantu Pelajar Pulang Ke Mesir

JASIN: Kerajaan Melaka melalui Yayasan Melaka memberi bantuan sebanyak RM2,000 seorang kepada 322 pelajar negeri itu membeli tiket penerbangan untuk kembali menyambung pelajaran mereka di Mesir.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata sumbangan itu diharap dapat meringankan beban ibu bapa pelajar terbabit.

Kumpulan pertama 111 pelajar akan berlepas ke Kaherah, Mesir, Isnin ini dengan tiga penerbangan menggunakan pesawat Emirates Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Abdul Rahman Yassin di Merlimau di sini, Sabtu.

Mohd Ali berkata kerajaan negeri juga menanggung kos lain seperti pengangkutan bas dari Melaka ke KLIA.

Pada majlis itu, Mohd Ali merasmikan penubuhan Ikatan Mahasiswa Melaka-Mesir (Imam) dan berharap persatuan itu dapat mengukuhkan hubungan antara mahasiswa Melaka yang menuntut di Mesir di samping menjadi "jambatan" bagi kerajaan Melaka membantu pelajar di sana.

Sementara itu, Najwa Zaini, 21, pelajar tahun ketiga jurusan Perubatan di Universiti Mansoura, Mesir berkata beliau gembira dengan bantuan yang diterima daripada kerajaan Melaka itu.

"Saya seronok hendak balik semula belajar di sana, tidak timbul perasaan takut untuk saya balik ke sana kerana daripada berita yang saya baca di portal Bernama, keadaan di sana sudah selamat," katanya.

Beliau berkata pada 13 Februari lepas, beliau pulang ke tanah air dengan membeli sendiri tiket penerbangan berharga RM2,640 setelah terkandas selama empat hari di lapangan terbang Kaherah, Mesir.

Syed Luqman Halim Syed Alwi, 19, pelajar tahun pertama jurusan Perubatan di Universiti Al-Azhar berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi bantuan tersebut.

"Saya pulang ke tanah air pada 10 Februari lepas melalui bantuan daripada kerajaan, jadi saya ini pergi balik percuma. Saya gembira hendak balik meneruskan pengajian kerana rasa sudah banyak sangat bercuti, rasa hendak belajar balik sekarang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain