suria

Muhyiddin Minta Universiti Dan Pelajar Bincang Proses Pemilihan Kampus

CHANGLUN: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pihak universiti berbincang secara baik dengan kepimpinan pelajar mengenai proses pilihan raya di kampus bagi mengelak kekecohan.

Timbalan Perdana Menteri berkata pentadbiran universiti dan mahasiswa perlu mewujudkan hubungan yang rapat dan baik kerana proses pemilihan di kampus adalah perkara biasa yang diadakan setiap tahun.

"Yang baiknya kalau berlaku (masalah) universiti, Bahagian Hal Ehwal Pelajar berbincang dengan pimpinan pelajar, selesaikan secara baik. Jangan timbulkan perasaan kurang senang hati dan akhirnya keadaan tidak stabil di kampus.

"Saya seru kedua-dua pihak, harap ada perbincangan dibuat secara musyawarah untuk kebaikan pelajar dan universiti. Maka hal itu (kekecohan) kita boleh elakkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Matrikulasi Bersama-sama Masyarakat Peringkat Kebangsaan di Kolej Matrikulasi Kedah di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan pilihan raya kampus di universiti-universiti awam yang menyaksikan kekecohan berikutan bantahan beberapa kumpulan yang mendakwa pemilihan tidak dijalankan dengan telus dan adil.

Muhyiddin berkata proses pemilihan di kampus adalah untuk memberi peluang dan ruang kepada pelajar memilih pemimpin mereka yang boleh membantu dalam urusan pengajian dan menjaga kebajikan mengikut peraturan-peraturan tertentu.

"Di peringkat universiti khususnya hal ehwal pelajar ada peraturan-peraturan bagaimana kempen dijalankan dan proses pemilihan diadakan. Kalau itu dipatuhi saya tak fikir tercetus apa-apa masalah seperti yang berlaku di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan sebagainya. Ia tak berikan gambaran yang baik kalau ada peristiwa-peristiwa seperti itu," katanya.

Mengenai tindakan yang akan dikenakan kepada pelajar yang mengadakan demonstrasi, Muhyiddin berkata ia terserah kepada pentadbiran universiti sama ada tindakan berdemontrasi itu wajar atau ada sebab-sebab tertentu tindakan itu berlaku di luar batasan.

"Pihak universiti dan hal ehwal pelajar patut lihat perkara itu secara serius. Kita tidak mahu digambarkan di kampus perasaan tak puas hati itu ada, padahal ini proses demokrasi di universiti perkara biasa. Tiap-tiap tahun ada pemilihan," katanya.

Mengenai dakwaan ada parti pembangkang yang masuk campur dalam perkara itu, Muhyiddin berkata sememangnya pelajar terdedah kepada pelbagai pandangan sama ada ia pro atau kontra.

"Tapi apa pun janganlah akibatnya sistem yang ada dilihat tidak tenteram seolah-olah pemilihan dilakukan secara tidak betul," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain