Penghuni Penjara Dan Pelajar USIM Bergabung Gubah 100 Lagu Patriotik

Diterbitkan: Rabu, 23 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mereka datang dari institusi berlawanan, namun muzik menyatukan 120 penghuni penjara dan 70 pelajar Universiti Sains Islam (Usim) yang menghasilkan 100 buah lagu patriotik.

Menyifatkan kerjasama itu sebagai unik, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop berkata usaha tersebut terjalin menerusi Program Festival Lagu Patriotik (Cipta) yang diadakan sejak 2008.

"Melalui lagu dan lirik yang dihasilkan ia telah berjaya membentuk jiwa dan rohani para penghuni penjara. Penghasilan karya yang baik ini juga mampu menggerakkan minda penciptanya dan pendengar ke arah pemikiran dan perlakuan yang positif," katanya kepada pemberita, di sini Rabu.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran album yang diterbitkan daripada Program Cipta, yang mana enam lagu terbaik dimuatkan dalam sebuah album bertajuk 'Cipta-Inovasi Karya Seni'.

Lagu-lagu terbabit dinyanyikan artis tempatan termasuk Adiba Noor, Siso dari kumpulan Kopratasa, Andy (Flop Poppy) dan artis era 60-an M. Sani.

Mengulas lanjut, Abu Seman berkata program tersebut adalah sebahagian usaha Jabatan Penjara bagi memulih dan mempersiapkan penghuni penjara sebelum mereka kembali ke pangkuan masyarakat.

Beliau juga berharap penghasilan album itu dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap fungsi sebenar institusi penjara.

"Sebelum ini fungsi penjara hanya terkenal sebagai tempat melaksanakan hukuman, jadi saya mahu persepsi ini ditukar di mana kita sebagai satu organisasi yang pemulihan para pesalah untuk kembali ke pangkal jalan," kata Abu Seman.

Katanya penerbitan album ini turut membuktikan bahawa banduan bukan sahaja mampu dipulihkan tetapi juga boleh menyumbang ke arah kecintaan dan keharmonian Malaysia.

Sementara itu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Hou Kok Chung yang turut hadir berkata penghasilan album itu bukan bertujuan meraih keuntungan, tetapi untuk mendidik masyarakat mengenai semangat patriotisme.

"Usim merupakan universiti pertama yang melahirkan album patriotik. Komponen patriotisme yang terkandung dalam album ini perlu dilihat sebagai agen penyatuan yang akan dapat menemukan kembali jati diri bangsa yang telah luntur," katanya.

Album dalam bentuk cakera padat itu boleh dibeli di Usim dan Jabatan Penjara dengan harga RM16.90 seunit. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan