suria

Keberkesanan Guru Pra-Sekolah Ditingkatkan

KUALA TERENGGANU: Kerajaan mengambil langkah untuk meningkatkan keberkesanan guru pra-sekolah seperti mempertingkatkan kelayakan dan kelulusan mereka selain menyerapkannya kepada jawatan tetap.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN) Datuk Azman Amin Hassan berkata, langkah itu dibuat supaya anak-anak pra-sekolah mempunyai kualiti yang dilatih oleh guru-guru yang mempunyai kelayakan.

"Sehubungan dengan itu bermula di Tabika Perpaduan dan juga agensi lain, kita dah mula menghantar guru-guru pra-sekolah berkenaan untuk mengambil diploma di universiti dan institusi pengajian tinggi tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan majlis perjumpaan awal tahun pemimpin utama kawasan Rukun Tetangga dengan pegawai dan kakitangan JPNIN di sini hari ini.

Turut hadir pengarah JPNIN negeri Terengganu Tukimin Sarlan.

Azman berkata, ketika ini terdapat 1,693 guru Tabika Perpaduan dan daripada jumlah itu seramai 95 orang mempunyai diploma yang telah dinaikkan kepada Gred S27 manakala 400 guru lagi sedang mengikuti kursus diploma perguruan.

"Ada kira-kira 1,000 orang lagi yang masih belum mengambil diploma termasuk yang tidak mempunyai lima kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kita longgarkan syarat supaya mereka boleh mengambil diploma di mana-mana universiti yang memberi peluang kepada kita pada pertengahan tahun ini," katanya.

Beliau berkata, ada juga guru-guru pra sekolah yang telah berkhidmat lama di bawah perkhidmatan kontrak dan jabatan mendapat kebenaran daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mereka diserapkan ke jawatan tetap.

"Ada kira-kira 150 orang guru-guru perpaduan masih lagi di bawah kontrak dengan gred S17. Ini yang sedang kita usahakan supaya mereka ini dapat diserapkan agar mereka dapat diterima masuk sebagai penjawat awam tetap," katanya.

Sementara itu Azman berkata, sehingga 31 Ogos tahun lepas terdapat 5,008 buah Rukun Tetangga di seluruh negara dan daripada jumlah itu kira-kira 20 peratus tidak aktif.

Katanya, tahun lepas sebanyak 550 Rukun Tetangga diwujudkan di seluruh negara iaitu melebihi daripada sasaran sebanyak 300 buah, manakala lebih 10 buah Rukun Tetangga telah dibubarkan kerana didapati tidak aktif.

"Pegawai kita akan turun ke kawasan Rukun Tetangga yang tidak aktif untuk memberi bimbingan selama dua tahun untuk mereka kembali aktif, kalau masih tidak berubah, ia akan ditutup untuk memberi peluang kepada kawasan yang memerlukan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain