suria

NGO Perguruan Hargai Pemberian Insentif Kepada Guru Besar, Guru Cemerlang

KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan dalam profesion perguruan melahirkan penghargaan di atas pengumuman insentif kepada guru besar dan guru cemerlang oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Khamis.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMB) Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata pemberian itu sebagai penghargaan terhadap jasa dan bakti guru di negara ini, yang dibalas oleh kerajaan dengan ganjaran setimpal.

"Ini selaras dengan janji dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu "New Deal" iaitu sagu hati kepada guru besar yang melonjakkan prestasi sekolah ke suatu tahap yang membanggakan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan dapat memanjangkan insentif tersebut untuk kakitangan bukan staf seperti tukang kebun dan pengawal keselamatan sekolah yang turut menyumbang kepada pencapaian cemerlang sesebuah sekolah.

Pada Khamis, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM7,500 seorang kepada 924 guru besar di seluruh negara yang berjaya meningkatkan prestasi sekolah masing-masing di bawah Tawaran Baru (Ba`iah).

Sementara itu, Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan(NUTP) Loke Yim Phing menyifatkan insentif itu sebagai 'bonus' kepada guru di negara ini.

Bagaimanapun, beliau meminta ia diperluas kepada sekolah yang mencatat peningkatan memberangsangkan dalam peperiksaan.

"Contohnya, sesebuah sekolah berkenaan mencapai 50 peratus pelajar cemerlang dan tahun ini meningkat kepada 70 peratus. Mereka juga patut diberikan penghargaan," katanya yang menyokong pandangan Mohamed Sabri agar pemberian insentif itu dipanjangkan kepada kakitangan bukan staf.

Presiden Persatuan Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abd Rahim pula berkata beliau menyokong insentif berkenaan, namun meminta ia diberikan dalam bentuk lain.

"Pemberian bonus hanyalah bersifat sementara. Para guru seharusnya ditawarkan insentif lain seperti pengecualian pembayaran cukai. Ini lebih baik kerana dapat menarik orang ramai untuk menjadi pendidik," katanya.

Beliau berkata selain itu, insentif sedemikian juga mampu meningkatkan kualiti guru di negara ini bagi memartabatkan profesion berkenaan di mata masyarakat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain