suria

JPT Beku SSLN Kepada Penuntut Baru Lanjut Pengajian Di Mesir

KUCHING: Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) membekukan Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN) untuk sementara waktu kepada mana-mana penuntut baru dari Malaysia yang ingin melanjutkan pengajian di Mesir, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini.

Beliau berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha JPT untuk menilai kembali mutu pengajian yang ditawarkan oleh beberapa universiti di Mesir khasnya dalam bidang perubatan selain atas faktor keselamatan.

"Buat masa ini kita bekukan NOC (Non Objection Certificate) ataupun Sijil Sokongan Luar Negara dan JPT akan menghantar pegawainya ke Mesir dalam masa terdekat untuk menilai kembali mutu pengajian yang ditawarkan oleh beberapa universiti di negara terbabit khasnya dalam bidang perubatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas perkembangan penuntut Malaysia yang kini terpaksa menangguhkan pengajian berikutan pergolakan politik yang berlaku di negara terbabit ketika ini.

Katanya JPT akan menghantar pegawainya ke Mesir untuk membuat beberapa perundingan dengan beberapa universiti di negara terbabit berkenaan langkah sama ada penuntut Malaysia boleh menangguhkan pengajian mereka ataupun diberi pilihan untuk meneruskan pengajian di negara ini untuk sementara waktu.

Kira-kira 5,000 daripada 11,000 penuntut Malaysia yang melanjutkan pengajian di Mesir mengambil jurusan perubatan, katanya.

Ketika ini dianggarkan terdapat 2,000 penuntut Malaysia masih berada di negara terbabit manakala selebihnya telahpun dibawa pulang ke tanah air. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain