suria

Peperiksaan: Kementerian Runding Dengan Universiti Di Mesir

SEPANG: Kementerian Pengajian Tinggi akan mengadakan rundingan dengan pihak universiti di Mesir bagi mengenal pasti sama ada mereka bersedia untuk membenarkan pelajar Malaysia yang belum menduduki peperiksaan mereka, dibuat di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu bagi membolehkan pelajar Malaysia dalam bidang perubatan menduduki peperiksaan tersebut di universiti tempatan yang dijadualkan pada pertengahan bulan ini.

Katanya seramai 1,200 pelajar perubatan yang belum menduduki peperiksaan mereka yang dijadualkan pada 12 Februari ini, membabitkan 1,000 pelajar daripada Universiti Tanta dan 200 lagi Universiti Al-Azhar.

"Kita akan berunding dengan semua universiti itu untuk bertanya sama ada mereka bersedia untuk lakukan itu.

"Jika mereka bersedia, maka kementerian akan mengaturkan di universiti tempatan yang boleh menampung untuk menjayakan peperiksaan itu," katanya kepada pemberita selepas sambutan ketibaan kumpulan pertama rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Mesir di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini Isnin.

Mohamed Khaled berkata universiti tempatan bersetuju untuk melaksanakan peperiksaan itu pada awal Mac ini iaitu agak lewat daripada jadual yang ditetapkan.

Katanya terdapat kira-kira 11,000 pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di universiti Mesir iaitu, 5,000 pelajar dalam bidang perubatan dan 6,000 lagi dalam jurusan agama.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan akan berbincang dengan pengurusan universiti-universiti di Mesir, bila tarikh pelajar Malaysia boleh pulang ke negara berkenaan untuk menyambung pengajian mereka.

Beliau berkata setakat ini, kebanyakan universiti di Mesir tidak dapat menentukan tarikh ia akan dibuka semula, berikutan situasi keganasan di negara berkenaan.

"Mereka perlu selaraskan segala maklumat terkini bagi memudahkan pelajar membuat rujukan bila mereka boleh kembali ke Mesir untuk menyambung pengajian masing-masing," katanya kepada pemberita selepas tiba bersama kumpulan pertama 778 pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir melalui Jeddah di Kompleks Bunga Raya, KLIA di sini.

Ditanya mengenai jumlah rakyat Malaysia yang masih berada di Mesir dan tidak pulang ke sini, beliau tidak dapat memberi angka yang sebenar.

"Kita tidak boleh memaksa (mereka kembali ke tanah air). Mereka membuat keputusan untuk tidak pulang kerana berpendapat keadaan di sana semakin baik dan ada yang bekerja," katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang masih berada di Mesir supaya berhubung dengan Kedutaan Malaysia di Kaherah jika menghadapi masalah atau berhasrat untuk pulang ke tanah air. - BERNAMA

Artikel Lain