suria

Unimas Sekretariat Baru Makum

KANGAR: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dilantik menjadi Sekretariat Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) bagi tempoh 2011-2012.

Pengerusi MAKUM sesi 2009-2010, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin menyerahkan arca MAKUM kepada UNIMAS menandakan berakhirnya tugas beliau menerajui sektretariat itu sempena majlis anugerah Seni MAKUM 2010 sini malam Jumaat.

UNIMAS diwakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajarnya, Prof Madya Mohd Fadzil Abdul Rahman yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengerusi MAKUM.

MAKUM yang dianggotai 20 buah universiti ditubuhkan pada 1993 di bawah naungan Jawatankuasa Sekretariat Timbalan-timbalan Naib Canselor/Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti-universiti Malaysia.

Kamarudin yang juga Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam ucapannya berkata sepanjang menerajui MAKUM, sebanyak 21 kegiatan telah diadakan dan yang terbesar penganjuran festival Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (FEStKUM) tahun lalu.

Festival yang mendapat penajaan besar Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu turut mewujudkan rangkaian kerjasama dengan Kementrian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Institut Integrti Malaysia (IIM) dan pihak media.

Sementara itu, Mohd Fadzil berharap pengalamannya sebagai timbalan pengerusi MAKUM sebelum ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin dalam menjalankan tanggungjawab baru menerajui sekretariat itu.

Beliau juga berharap kerjasama semua pihak bagi memastikan MAKUM dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan lancar.

Pada majlis itu, selain persembahan kebudayaan turut diadakan acara penyampaian anugerah seni pelbagai kategori membabitkan para pelajar, institusi pengajian tinggi awam, agensi dan individu yang banyak membantu pencapaian MAKUM. - BERNAMA

Artikel Lain