suria

Penjenamaan Semula PDCA Rapatkan Jurang Pendidikan

KEPALA BATAS: Penjenamaan semula Program Didik Cemerlang Akademik (PDCA) sebagai Mutiara PDCA, merupakan pemangkin kepada usaha berterusan kerajaan bagi merapatkan jurang pendidikan di kalangan pelajar sekolah luar bandar dan bandar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata sejak diperkenalkan pada 2006, Mutiara PDCA memperlihatkan peningkatan bilangan pelajar yang mendapat keputusan memberangsangkan, sekaligus mencipta sejarah bagi sekolah, khususnya di kawasan luar bandar.

"Kalau dulu, masalah jurang pendidikan antara pelajar bandar dan luar bandar memang ketara, tetapi menerusi program Mutiara PDCA ini, kecemerlangan akademik pelajar luar bandar semakin meningkat.

"Kualiti pembelajaran juga menunjukkan peningkatan, pencapaian ini amat bersesuaian dengan teras Rancangan Malaysia Kesepuluh, iaitu membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia," katanya pada sidang akhbar di sini Sabtu.

Terdahulu, Nor Mohamed menyempurnakan majlis penyampaian anugerah sekolah cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010, pelancaran Mutiara PDCA dan pelancaran portal e-Didik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

Beliau berkata seramai 1,548 daripada 2,839 pelajar UPSR 2010 yang mendapat keputusan cemerlang iaitu 5A dan 7A, merupakan mereka yang terlibat dalam PDCA.

Selain itu, katanya, seramai 9,019 pelajar di bawah program PDCA berjaya menguasai tahap minimum sekurang-kurangnya gred C dalam lima mata pelajaran UPSR.

Pada majlis itu, Nor Mohamed menyerahkan dana sebanyak RM5.7 juta kepada Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Pulau Pinang Ibrahim Mohamad bagi melaksanakan aktiviti dan program Mutiara PDCA.

Beliau berkata menerusi penjenamaan semula itu, jabatan pelajaran boleh meningkatkan bilangan sekolah yang ingin menyertai Mutiara PDCA dan meluaskan subjek di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

PDCA diperkenalkan sejak 2010 dengan sejumlah 13,654 pelajar yang telah meningkat kepada 29,275 orang pada 2010, dan ia dilaksanakan bersama tiga agensi penaja iaitu Perda, Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera (BPPB) JPM serta Pusat Urus Zakat Pulau Pinang. - BERNAMA

Artikel Lain