Hubungan Rapat Universiti-Sektor Korporat Tingkat Pasaran Kerja Graduan

Diterbitkan: Jumaat, 28 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SERDANG: Institusi pengajian tinggi perlu mempunyai hubungan rapat dengan sektor korporat agar graduan mempunyai nilai pasaran yang baik dalam sektor pekerjaan, kata Pengarah Urusan RHB Bank, Datuk Tajuddin Atan.

Beliau yang juga bekas pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) sekitar tahun 1980-an dan merupakan ahli Persatuan Alumni UPM berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak membolehkan masing-masing bertukar-tukar kepakaran sekali gus meningkatkan nilai pasaran graduan yang dihasilkan.

"Aktiviti antara universiti dan badan korporat perlu digalakkan untuk membantu graduan mempunyai pasaran pekerjaan dalam sektor tertentu.

"Hubungan yang rapat antara universiti dengan sektor korporat boleh memberi ruang kepada mereka untuk bertukar pandangan. Ini membolehkan graduan berpeluang menghadapi dunia pekerjaan sebenar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum yang bertajuk 'Leading Corporate Malaysia' anjuran Yayasan Pak Rashid UPM di sini, baru-baru ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Naib Canselor UPM Datuk Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi.

Turut hadir, Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Rashdan Baba yang merupakan Naib Canselor UPM pertama (1971-1982) dan Pengarah Pusat Alumni UPM, Dr Rohani Ibrahim.

Dalam syarahan itu Tajuddin berkongsi pandangannya mengenai aspek yang diperlukan untuk memimpin sebuah organisasi di negara ini, mengupas persaingan sengit dalam industri yang menuntut pemimpin mempunyai pelbagai kemahiran dan bakat.

Beliau turut menyentuh perlunya budaya kerja berasaskan prestasi selain menekankan betapa pentingnya aspek pengurusan modal insan dalam organisasi syarikat.

Katanya, dalam menguruskan perubahan modal insan, majikan-majikan mesti menggunakan pendekatan berbeza untuk mengendali pekerja Generasi X dan Generasi Y.

Generasi X, menurut beliau, ialah istilah yang menghuraikan mereka yang dilahirkan antara 1960 hingga 1980 manakala Generasi Y ialah mereka yang dilahirkan pada era 1980-an dan kini berumur dalam lingkungan 20-an dan baru sahaja terlibat dalam sektor pekerjaan.

"Untuk pekerja-pekerja Generasi X, aspek mendorong minat dalam pekerjaan ialah gaji yang baik, faedah-faedah, kuasa dan kelonggaran. Ia berbeza untuk Generasi Y yang memilih tempat kerja menarik, pampasan segera dan keputusan pantas," katanya.

Tambah Tajuddin, majikan tidak boleh mengetepikan keperluan, keinginan dan sikap generasi Y kerana mereka merupakan tenaga kerja yang cepat berkembang pada masa kini.

Justeru, beliau berkata, melalui dialog antara universiti dan sektor korporat, kedua-dua pihak dapat menyedari dan membantu menguruskan perubahan yang berlaku.

Sementara itu, Datuk Ir Dr Radin Umar berkata syarahan itu bukan sekadar untuk menambah pengetahuan semata-mata malah ia perlu dijadikan sebagai motivasi untuk membentuk individu yang boleh memacu sektor korporat pada masa hadapan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan