suria

UPM Terima Sumbangan 1,200 Naskhah Buku Sastera Cina

SERDANG: Bekas guru besar Sekolah Menengah Swasta Chi Wen Bahau Negeri Sembilan, Lee Kim Siew, telah menyumbang sejumlah 1,200 judul naskhah sastera rujukan bahasa Cina bernilai RM60,000 kepada Perpustakaan Sultan Abdul Samad, Universiti Putra Malaysia.

Sumbangan tersebut adalah merupakan sebahagian daripada 36,000 koleksi peribadi Kim Siew, 75, setelah mendapati perpustakaan UPM masih kekurangan bahan rujukan bahasa Cina ketika beliau berkunjung ke universiti berkenaan baru-baru ini.

"Saya berharap sumbangan ini boleh dijadikan rujukan oleh para pelajar dan pensyarah yang mengambil jurusan pengajian bahasa Cina di Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM," katanya ketika menghadiri majlis penyerahan buku hadiah bahasa Cina untuk koleksi khas perpustakaan itu.

Kim Siew memilih untuk tidak menurunkan warisan buku-buku tersebut kepada warisnya kerana mereka merupakan graduan jurusan sains dan tidak berminat mendalami bidang sastera bahasa Cina.

Selain UPM, beliau turut menyumbang buku-buku koleksi peribadinya kepada beberapa perpustakaan negara lain seperti Thailand dan China. UPM merupakan universiti tempatan pertama menerima sumbangan daripadanya.

Sementara itu, Ketua Pustakawan UPM, Amir Hussain Md Ishak berkata, sumbangan Kim Siew itu merupakan sumbangan terbesar yang diterima oleh UPM tahun ini.

"Kami amat menghargai usaha yang telah dirintis oleh Encik Lee Kim Siew kerana ia merupakan satu cara perkongsian ilmu sesama masyarakat dan boleh menjadi contoh kepada pihak lain pada masa akan datang," ujarnya.

Pada masa ini, Perpustakaan UPM memiliki 2,253 judul buku dan 4,153 naskhah buku bahasa Cina di Bahagian Koleksi Khas.

Bahagian ini yang diwujudkan pada tahun 1997 adalah hasil percantuman koleksi-koleksi Malaysian, Buku Berbintik Merah, Tesis, Kertas Projek, Pendidikan Jarak Jauh dan Koleksi Profesor Chin.

Pada tahun 2001, koleksi ini telah berkembang dan menempatkan buku-buku yang ditulis dalam bahasa asing selain bahasa Melayu dan Inggeris.

Koleksi ini juga meliputi buku-buku dalam bahasa Arab, Cina dan Jepun.

Artikel Lain