suria

University Of Queensland, Australia Sedia Pusat Operasi Banjir Bagi Pelajar Malaysia

KUALA LUMPUR: University of Queensland, Australia telah menyediakan sebuah pusat operasi bencana bagi tujuan menyelaras dan mengatur segala khidmat bantuan khusus kepada 2,476 pelajar Malaysia yang terlibat dengan bencana banjir yang berlaku di kawasan itu.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pelajar terbabit dinasihatkan agar dapat berhubung dengan pusat operasi bencana berkenaan dari semasa ke semasa, di samping sentiasa melaporkan kepada pusat berkenaan jika terdapat sebarang bantuan yang diperlukan.

"Saya juga ingin menasihatkan para pelajar terlibat untuk sentiasa mematuhi tatacara keselamatan bencana yang telah ditetapkan oleh kerajaan Australia," katanya dalam satu kenyataan di sini Ahad malam.

Beliau berkata seramai 39 rakyat Malaysia termasuk 22 pelajar bersama keluarga mereka mengalami kesan teruk melibatkan harta benda akibat bencana berkenaan.

"Namun tiada sebarang kematian atau kecederaan dilaporkan," katanya.

Khaled berkata pihaknya melalui Jabatan Penuntut Malaysia (JPM) Australia telah mendapatkan maklum balas dan maklumat terkini mengenai keadaan bencana semasa daripada pihak University of Queensland, University of Technology Queensland, Griffith University dan University of Southern Queensland.

"Kami juga telah berhubung dan mendapat kerjasama daripada beberapa persatuan pelajar Malaysia di Brisbane termasuklah Persatuan Pelajar Melayu Queensland dan Malaysian Students Council Australia (Masca).

"Pada ketika ini juga, dua orang Atase Pendidikan JPM Australia iaitu Zahari Long dan Zaharuddin Shamsuddin sedang berada di Brisbane bersama-sama dengan wakil-wakil pelajar terlibat bagi meninjau keadaan terkini pelajar," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain