suria

MDEC Rangsang R&D Bertaraf Antarabangsa Untuk Teknologi Komunikasi Wayarles

PETALING JAYA: Multimedia Development Corporation (MDeC) menyasar untuk merangsang penyelidikan dan pembangunan (R&D) bertaraf dunia dalam teknologi komunikasi wayarles, kata ketua pegawai operasi Ng Wan Peng.

Ia juga berhasrat untuk mencipta kesedaran tentang perlindungan harta intelek (IP), menggalakkan pengkomersilan dan akhirnya membentuk semula masa depan industri dengan mambangunkan inovasi dan menjadi masyarakat berpengetahuan berpendapatan tinggi, katanya ketika membuka acara MSC Malaysia R&D and IP Connect 2010 di sini, Selasa.

Acara tersebut, yang dianjurkan bersama-sama oleh Sunway University dan MDeC, mempunyai tema "Wayarles dan Mobiliti" dan penyertaan kira-kira 100 syarikat berstatus MSC Malaysia dan institusi pengajian tinggi.

Antara objektif siri MSC Malaysia R&D adalah untuk memberitahu komuniti MSC Malaysia tentang pelbagai program R&D dan dana yang ada serta memberi informasi tentang teknologi terkini dan baru muncul kepada komuniti itu.

Ia juga disasarkan untuk menggalakkan perkaitan dan perkongsian pengetahuan di kalangan komuniti itu dan untuk menggalakkan kerjasama R&D antara institusi pengajian tinggi dan syarikat berstatus MSC Malaysia.

Sementara itu, Naib Canselor Sunway University Professor Robert Bignall berkata acara itu adalah satu platform yang efektif untuk pertukaran idea dan pengetahuan dalam teknologi wayarles.

"Sunway University hari ini berkongsi teknologi wayarles yang relevan dalam kehidupan harian dan berada dalam pasaran," katanya.

Peserta termasuk Sunway University, Universiti Putra Malaysia dan Clarify Consulting Sdn Bhd. -BERNAMA

Artikel Lain