suria

Rebutlah "Peluang Kedua" Ini, Kata Khaled

PUTRAJAYA: Rebutlah “peluang kedua” yang sedang ditawarkan oleh 64 Kolej Komuniti di seluruh negara yang menyediakan lebih 50 kursus kemahiran di bawah sembilan Program Sijil Modular Kebangsaan ketika ini, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata peluang kedua ini diberikan kepada golongan yang tercicir atau tertangguh dalam pendidikan pada kali pertama dan ini memberikan kesempatan dan peluang menyambung pengajian yang tergendala tersebut.

Dalam Pada syarahan bertajuk “Peluang Kedua” di Konvensyen Belia Felda di sini Isnin, katanya dengan yuran serendah RM10 sebulan, mereka boleh mengikuti kursus jangka pendek yang disediakan dalam tempoh antara tiga bulan dan enam bulan sahaja.

Katanya syarat kemasukan yang lebih terbuka dan flesible iaitu terbuka kepada semua kaum, berumur 17 tahun ke atas serta sekurang-kurangnya boleh membaca dan menulis dalam Bahasa Malaysia.

Selepas tamat kursus di setiap tahap, menurutnya mereka akan dianugerahkan Sijil Modular Kebangsaan (SKM).

Khaled berkata program modular ini diperkenalkan mulai Julai lepas, iaitu program pembelajaran jangka pendek bagi menggantikan program pembelajaran secara sistem semester yang mengambil masa lebih panjang sehingga dua tahun.

"Pembelajaran secara sistem modular ini adalah untuk memberi peluang kepada mereka untuk mendapat kemahiran yang menjurus kepada bidang pekerjaan di pelbagai peringkat industri kerana sistem modular ini dirangka mengikut kehendak pasaran dan industri," katanya di hadapan lebih 300 peserta konvensyen yang diadakan sempena Karnival Iktiraf.

Beliau berkata "peluang kedua" ini juga berkait rapat dengan salah satu teras utama Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN) iaitu penekanan kepada "Pembelajaran Sepanjang Hayat" yang selari dengan aspirasi Model Baru Ekonomi (MBE).

"Dengan adanya penambahan kemahiran, maka taraf kehidupan rakyat dapat ditingkatkan selain memenuhi aspirasi negara menjadi negara maju yang memerlukan 60 peratus tenaga kerjanya lahir daripada pengajian berasaskan kemahiran," katanya.

Kursus-kursus yang ditawarkan di bawah program itu adalah penyelenggaraan bangunan; menyelenggara dan membaiki motobot; akuakultur; pengendalian pelancongan; servis kenderaan ringan; pemasangan elektrik; operasi perhotelan; kulinari; dan servis penyejukan dan penyaman udara.

Menteri itu berkata kementerian juga akan menambah kursus-kursus baru mulai tahun hadapan dengan sasaran 135 kursus menjelang 2015.

Katanya "peluang kedua" ini juga membolehkan golongan ini melanjutkan pengajian mereka sehingga ke peringkat universiti di mana Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, dan Universiti Malaysia Perlis memberi peluang itu.

Mohamed Khaled juga berkata jumlah Kolej Komuniti akan ditambah sebanyak 75 buah pada 2012 dan ia tidak termasuk Kolej Komuniti yang diusahakan sendiri oleh Felda yang kini mempunyai empat Kolej Komunitinya sendiri.

Beliau berkata kementeriannya sentiasa bersedia membantu Felda dalam mendapatkan pengisian kursus-kursus yang bersesuaian dengan keperluannya.

Kolej Komuniti ketika ini mempunyai 3,000 pelajar sepenuh masa dan 7,000 pelajar separuh masa. - BERNAMA

Artikel Lain