suria

Warga UiTM Perlu Bekerjasama Elak Perpecahan Sesama Sendiri - Titah Agong

SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengingatkan warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) agar sentiasa bekerjasama dan mengelak perpecahan sesama sendiri.

Seri Paduka bertitah setiap warga UiTM perlu memahami dasar dan pendekatan universiti itu sekaligus bersama-sama memainkan peranan dan menyokong hala tujunya.

"Beta percaya setiap individu itu (UiTM) mempunyai kekuatan atau keistimewaan tersendiri yang boleh membantu penambahbaikan universiti ini. Pihak pengurusan perlulah mengenalpasti kekuatan individu itu.

"Berusahalah untuk mendapatkan yang terbaik daripada modal insan tersebut," titah baginda pada Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen ke-73 UiTM di Dewan Sri Budiman, UiTM di sini Khamis.

Baginda selaku Canselor UiTM turut melahirkan rasa gembira apabila permohonan UiTM untuk membina hospital berasaskan pelancongan di institusi pengajian berkenaan mendapat kelulusan kerajaan.

Tuanku Mizan bertitah baginda sendiri menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UiTM dengan dua buah universiti dari Kanada dan Amerika Syarikat dalam usaha membantu UiTM memperkasakan bidang perubatan di universiti itu.

"Selain itu, setiap tahun seramai 50 graduan terbaik dari UiTM akan diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah di universiti terkemuka seperti Oxford, Cambridge, Harvard dan Stanford," titahnya.

Yang di-Pertuan Agong juga menasihatkan graduan UiTM menghulurkan bantuan sukarelawan kepada mangsa-mangsa banjir ynag melanda Kedah dan Perlis baru-baru ini yang telah menyebabkan kehilangan harta benda dan nyawa.

Baginda seterusnya bertitah bahawa majlis konvokesyen kali ini membawa makna yang agak signifikan kepadanya kerana selain di kampus utama UiTM di Shah Alam, majlis itu berlangsung di empat kampus cawangan universiti itu di Perak, Perlis, Sarawak dan Terengganu.

Seramai 21,475 graduan dalam pelbagai bidang menerima diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan ijazah kedoktoran falsafah pada konvokesyen kali ini.

Pada majlis itu, Tuanku Mizan berkenan menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor kepada dua orang tokoh kejuruteraan dan akademik negara yang banyak menyumbang kepada pembangunan UiTM.

Naib Canselor pertama UiTM, Datuk Dr Ir Ahmad Zaidee Laidin dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor dalam Kejuruteraan Elektrik manakala bekas pengarah Institut Teknologi Mara, Prof Datuk Dr Mohd Mansor Salleh menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor dalam Kejuruteraan Mekanikal. - BERNAMA

Artikel Lain