suria

IKN Disaran Ambil Pelajar Daripada Kaum Lain

RAWANG: Institut Kraf Negara (IKN) disaran memperluaskan pengambilan pelajarnya kepada pelbagai kaum seperti Cina, India, Orang Asli serta Bumiputera Sabah dan Sarawak agar dapat bergerak sejajar dengan konsep 1Malaysia.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata usaha itu juga bagi memastikan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum berpeluang mempelajari pelbagai seni kraf di institusi terbabit.

"Sebagai satu-satunya institusi pengajian yang menawarkan pengajian seni kraf, kemasukan pelbagai kaum di IKN mampu melonjakkan industri kraf ke tahap yang lebih cemerlang.

"Justeru, bagi merealisasikan konsep 1Malaysia, IKN perlu menyusun strategi untuk menarik lebih ramai pelajar lepasan SPM dan juga daripada kaum lain untuk melanjutkan pelajaran ke IKN," katanya pada ucapan perasmian majlis konvokesyen ke-9 Institut Kraf Negara 2010, di sini Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan timbalannya Datuk Joseph Salang.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengerusi Kraftangan Malaysia Datuk Zakiah Ahmad, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Mohd Kamil Mohd Ali dan Pengarah IKN Zainal Abidin Che Pa.

Rais berkata bagi memperkukuhkan peranannya, IKN juga perlu mengadakan lebih banyak aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk industri, institusi pengajian tinggi dan institusi-institusi kemahiran tempatan dan luar negara.

Katanya usaha ini akan membantu meningkatkan keyakinan sektor industri terhadap kepakaran, kemahiran serta ciptaan yang dihasilkan oleh para pelajar dan tenaga pengajar IKN kelak.

Pada majlis itu, 176 graduan IKN daripada enam jurusan seni kraf iaitu batik, tenunan, seramik, kayu, logam dan rotan berjaya menamatkan pengajian dengan 121 daripada mereka merupakan lulusan peringkat diploma dan selebihnya peringkat sijil. - BERNAMA

Artikel Lain