suria

UniMAP Ingin Jalin Hubungan Akademik Dengan Universiti India

NEW DELHI: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bercadang menjalin hubungan strategik dengan institusi pengajian tinggi India untuk memantapkan program pengajiannya dan meneroka bidang pengajian berkepakaran tinggi.

Universiti di utara Malaysia yang sedang berkembang pesat itu juga berminat menggunakan khidmat sarjana dan saintis India untuk membangunkan program akademiknya bagi melahirkan siswazah yang mampu memenuhi keperluan industri tempatan.

"India memiliki asas yang kukuh dan kami mempelawa cerdik pandai India untuk mengajar di universiti kami.

"Kami bersedia bekerjasama dengan universiti terbaik India dan menyambut baik program pertukaran pelajar, usahasama, penyelidikan dan pembangunan serta pengambilan pensyarah dari India," kata Naib Canselor UniMAP Datuk Dr Kamarudin Hussin, Ahad.

Beliau menyertai delegasi Perlis yang melakukan lawatan ke India diketuai Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dengan diringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah.

Delegasi berprofil tinggi itu dalam rangka lawatan ke utara India dari 20 hingga 24 Nov.

Senarai keutamaan UniMAP meliputi pelbagai bidang kerjasama merangkumi bioteknologi dan sains komputer, hingga kepada teknologi angkasa lepas.

Beberapa ahli akademik India kini menjadi tenaga pengajar di UniMAP, yang giat berusaha untuk meletakkan dirinya sebagai universiti kejuruteraan premier di Malaysia.

"Kami mempelawa pelajar India mengikuti pengajian peringkat PhD di UniMAP dalam apa jua bidang, sekurang-kurangnya 20 hingga 30 orang pada 2011," kata Dr Kamaruddin.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain