Bilangan Penuntut Wanita Di IPTA Sarawak Meningkat

Diterbitkan: Khamis, 18 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Bilangan penuntut wanita di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Sarawak menunjukkan trend yang meningkat, kata satu kajian oleh Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS).

Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah berkata, kajian itu mendapati, graduan wanita di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) meningkat dari 54.1 peratus pada tahun 1999 kepada 64.2 peratus pada 2005 dan kepada 68.2 peratus pada tahun lepas.

Jumlah penuntut wanita yang mengikuti program Ijazah, Diploma dan Sijil di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kota Samarahan pula ialah 64.8 peratus bagi tahun 2001 hingga tahun lepas.

Berdasarkan kajian MWKS itu, 60 peratus daripada doktor perubatan dari Unimas pada tahun 2000 hingga 2009 adalah wanita manakala graduan wanita Unimas dalam program Ijazah Perakaunan, Sains Pengurusan, Pemasaran dan Kewangan serta Pengurusan Perniagaan ialah 73 peratus.

Fatimah berkata demikian pada majlis Kecemerlangan SMK St Teresa sempena sambutan ulangtahun ke-125 di sini hari ini.

Sementara itu, Fatimah meminta ibu bapa, guru dan pelajar supaya menangkis persepsi negatif terhadap pendidikan teknikal dan latihan vokasional.

Di kebanyakan negara maju, pendidikan teknikal dan latihan merupakan pilihan utama pelajar yang mahukan prospek kerjaya yang lebih baik tetapi ia dilihat sebagai pilihan terakhir atau pilihan kedua pelajar di negara ini, katanya.

Pada majlis itu, Pengetua SMK St Teresa Mary John berkata sekolah itu memerlukan peruntukan RM3.5 juta untuk membina sebuah blok baru untuk memuatkan 24 kelas.

"Pihak sekolah berharap dengan adanya bilik-bilik darjah baru ini, SMK St Teresa akan menjadi sekolah satu sesi pada masa akan datang," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan