Pertimbangan Khas Kurangkan Yuran Kepada Pelajar PhD & Sarjana

Diterbitkan: Selasa, 2 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersedia menimbang untuk mengecualikan atau mengurangkan yuran pengajian kepada rakyat Malaysia berumur 50 tahun ke atas yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) di institusi pengajian tinggi awam.

Bagaimanapun Timbalan Menteri berkenaan Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu tertakluk kepada syarat-syarat yang akan ditentukan serta akan dibawa ke kabinet untuk kelulusan.

"Ia selaras dengan hasrat kerajaan melahirkan pemegang PhD seramai 60,000 orang menjelang tahun 2023," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2011 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengajian Tinggi di Dewan Rakyat hari ini.

Sehubungan itu Saifuddin berkata kementerian akan membelanjakan sebanyak RM483.9 juta untuk program MyBrain15 bagi meningkatkan bilangan pemegang PhD dalam negara, seperti yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2011.

Peruntukan itu akan digunakan untuk membiayai sejumlah 7,610 pelajar sedia ada selain menyediakan 11,170 tempat baru bagi pengajian pasca siswazah di peringkat Sarjana dan PhD, kata beliau.

Untuk memperkasa aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D)di Institusi Pengajian Tinggi, Saifuddin berkata kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM741 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMK-10) bagi tempoh dua tahun akan datang.

"Peruntukan dana tersebut adalah merupakan satu peningkatan yang besar berbanding dengan peruntukan dana R&D (penyelidikan dan pembangunan) bagi tempoh lima tahun di bawah RMK-9 yang berjumlah hanya sebanyak RM315 juta.

"Ini tidak termasuk tambahan peruntukan R&D berjumlah RM400 juta untuk lima universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM)dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM)," katanya.

Mengenai cadangan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), beliau berkata kementerian tidak bercadang untuk berbuat demikian kerana ia baru sahaja dipinda.

Berkuatkuasa 1 Februari tahun lepas, AUKU mengambil pendekatan positif dengan membenarkan mahasiswa melibatkan diri dalam mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar secara sihat, katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, AUKU masih tidak membenarkan mahasiswa melakukan apa-apa yang ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik termasuk calon bebas.

Mengenai dua pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menyertai raptai persidangan Perhimpunan Agung Umno 2010, beliau berkata UKM telah memberi surat tunjuk sebab kepada pelajar terlibat.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata pelbagai usaha sedang dilakukan bagi meningkatkan prestasi kutipan balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) termasuk mengadakan perbincangan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk membolehkan kewajipan potongan gaji melalui LHD Ndilaksanakan.

Beliau berkata meskipun terdapat peningkatan terhadap jumlah peminjam yang memulakan bayaran balik, ia tidak mengikut jumlah sebenar yang ditetapkan disebabkan beberapa faktor antaranya peminjam melanjutkan pelajaran serta mendapat gaji permulaan yang rendah.

"Sehingga 31 Ogos lepas, sejumlah RM1.959 bilion telah dikutip, iaitu 48 peratus daripada jumlah yang sepatutnya dikutip sebanyak RM4 bilion," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan