suria

Gunakan Laman Sosial Sebar Maklumat Seni Warisan Negara

KOTA BAHARU: Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) perlu memanfaat penggunaan laman web sosial, Facebook dan Twitter, untuk menarik generasi muda meminati kesenian warisan di negara ini, kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Abdul Rahman.

"Sekiranya kita dapat memanfaatkan maklumat berkaitan kesenian warisan negara seperti pengajaran dan pembelajaran seni mak yong dalam Facebook dan Twitter, ia mungkin dapat menarik minat generasi muda untuk mengenali seni tradisional itu,” katanya pada majlis penutup Bengkel Mak Yong MAKUM 2010 anjuran bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan MAKUM di sini, Isnin. Dr Mohd Fadzil yakin jika pihak berkenaan dapat menggunakan kemudahan laman web sosial dengan cara betul, usaha memartabatkan aktiviti kesenian tradisional seperti mak yong di kalangan generasi muda akan dapat mencapai hasil yang diingini.

Pengajaran dan pembelajaran kesenian Melayu yang amat bernilai, kata beliau kebanyakannya diperturunkan secara lisan dan kurang didokumentasikan dalam bentuk penulisan buku.

Beliau berharap bengkel mak yong MAKUM dapat diteruskan kerana ia bukan sahaja dapat memberi nilai tambah kepada para penuntut IPTA malah memberi peluang kepada artis budaya tempatan untuk menyumbang bakti demi kemajuan industri seni tanah air. - BERNAMA

Artikel Lain