suria

Profesor UKM Terima Anugerah Penyelidikan Antarabangsa ISESCO

KUALA LUMPUR: Ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Mohamed Amin Embi hari ini memenangi anugerah penyelidikan antarabangsa bagi kategori teknologi dari Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) 2010.

Dr Mohamed Amin, 46, yang merupakan Prof Teknologi Pemantapan Pembelajaran di Fakulti Pendidikan, UKM, menerima pingat emas, wang tunai US$5,000 (RM15,535) dan sijil.

Hadiah itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, pada majlis perasmian Persidangan Menteri-menteri Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Islam (ICMHESR) kelima di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Dr Mohamed Amin, sebelum ini pernah mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan kerana mewujudkan berbagai sistem pembelajaran melalui internet (e-learning).

Hadiah dibahagi kepada kategori Biologi, Kimia, Geologi, Matematik, Teknologi dan Fizik bertujuan menggalakkan bakat inovatif dan untuk memberi ganjaran bagi penyelesaian saintifik dan teknologi mengenai kepentingan sosioekonomi. Pemenang kategori Biologi, Dr Hosein Baharvand, 38, dari Iran. Beliau merupakan Profesor Madya dan Ketua Jabatan Sel Stem Biologi dan Perkembangan Biologi di Institut Royan yang telah menghasilkan sel stem embrionik manusia dan tikus pertama di Iran pada 2003.

Bagi kategori kimia dimenangi oleh Prof Dr Mirsaidon Ulmas, 65, dari Tajikistan. Beliau merupakan penyelidik pertama di negaranya yang memulakan Siasatan Sistematik Tentang Logam Ringan dan 'Energetically Capacious Materials'.

Pemenang lain adalah Prof Dr Muhammad Qasim Jan, dari Pakistan, yang memenangi anugerah ISESCO bagi kategori Geologi, manakala Dr Odibat Zaid dari Jordan pemenang kategori Matematik.

Bagi kategori fizik, penerima adalah Dr Shabat Mohammed dari Palestin. Beliau merupakan Profesor Teori Fizik di Universiti Islam Gaza dan antara penyelidikannya adalah optik tak linear sensor, opto-elektronik dan magneto gelombang permukaan statik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain