suria

200 Sertai Kongres Koperasi Siswa Kebangsaan Di UUM

ALOR SETAR: Seramai 200 pelajar dari 14 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menyertai Kongres Koperasi Siswa Kebangsaan (Korsiswa) di Universiti Utara Malaysia (UUM) selama dua hari yang berakhir Sabtu bagi memberi pendedahan kepada pelajar tentang keusahawanan dan koperasi.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UUM Prof Dr Abdul Razak Salleh dalam satu kenyataan berkata beliau gembira dengan langkah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang merancang Pembangunan Keusahawanan di IPT yang merangkumi tiga institusi iaitu universiti, politeknik dan kolej komuniti.

Katanya walaupun kebolehpasaran graduan menunjukkan trend yang agak membimbangkan kerana tidak memperoleh pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan, tetapi langkah Program Pembangunan Keusahawan di IPT amat menggembirakan.

"Model Baru Ekonomi (MBE) yang dilancarkan Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berdaya saing pada tahun 2020 memberi penekanan untuk menjana ekonomi berpendapatan tinggi dan bidang keusahawanan ini dijadikan antara agenda utama mencapai hasrat itu," katanya.

Beliau berkata langkah yang diusahakan oleh KPT, Majlis Keusahawanan Universiti-universiti Malaysia (Makmum), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan UUM melalui Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (Cedi) menganjurkan kongres itu kena pada tempatnya.

Seorang pelajar yang mengikuti kongres itu Abdul Hakim Abdul Ghani, 23, dari Universiti Malaya berkata kongres itu dapat memberi peluang kepada siswa siswi untuk merebut peluang bagi menceburi bidang keusahawanan.

Seorang lagi pelajar dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Muhammad Azri Amirurudin, 20, berkata beliau yakin pembabitan siswa dalam koperasi itu akan memberi keuntungan kepada mereka.

"Saya lihat selalunya pelajar kurang berminat untuk menjadi anggota koperasi, tetapi jika mereka diberi pendedahan dan maklumat sudah pasti mereka akan merebut peluang yang ditawarkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain