Tengku Abdullah Saran Mahasiswa Suburkan Semangat Sukarela

Diterbitkan: Sabtu, 9 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Golongan mahasiswa disaran menyuburkan semangat kesukarelawan sebagai satu pengupayaan kekentalan diri, kelasakan minda dan ketahanan peribadi sebagai benteng yang memagari kelangsungan agama, nusa dan bangsa.

Saranan itu diutarakan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang turut bertitah bahawa semangat kesukarelawan adalah satu agenda yang perlu dijurai mahasiswa dan pihak universiti, kerana di situlah aplikasi ilmu pengetahuan serta sentuhan kemanusiaan bergabung.

Baginda bertitah kajian yang dilakukan pusat kaunseling Universiti Maryland, Amerika Syarikat pada 1992, menunjukkan jumlah mahasiswa yang berminat melakukan aktiviti kesukarelawan semakin merosot.

Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu juga bertitah, pelbagai alasan telah diberikan oleh mahasiswa yang kurang melibatkan diri dengan aktiviti kesukarelawan iaitu tidak ada masa dan sibuk dengan pelajaran.

"Kini setelah 18 tahun kajian tersebut dijalankan, kita harus menyoal adakah situasinya terus merosot, atau menunjukkan kemajuan.

"Pada hemat saya, rendahnya minat, kurangnya kesedaran untuk menyertai aktiviti kesularelawan di kalangan mahasiswa, perlu ditekuni penyelesaiannya dengan bijaksana," titahnya pada majlis Konvokesyen Kelima UMP, Sabtu.

Tengku Abdullah bertitah situasi itu telah menimbulkan persepsi negatif bahawa mahasiswa hanya suka melakukan perkara remeh serta aktiviti mudah tanpa mencabar ketahanan dan kelasakan diri, dan sekiranya situasi tersebut berterusan, ia akan menjejas daya saing mereka di alam pekerjaan.

Justeru, baginda berharap pihak pengurusan universiti mampu menjadikan kesukarelawan sebagai agenda utama yang perlu diperkasa bagi membangunkan potensi dan bakat mahasiswa.

"Agenda kesukarelawan yang direncana dengan cekap, mampu memupuk nilai-nilai murni yang membentuk personaliti unggul seperti kepimpinan, keprihatinan, kasih sayang, tawadduk dan kesederhanaan," titahnya.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Naib Canselor UMP Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

Pada majlis itu, seramai 1,030 pelajar menerima ijazah dan diploma daripada Tengku Abdullah.

Baginda turut mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Teknologi) kepada Adnan bagi mengiktiraf usaha beliau meletakkan Pahang sebagai sebuah negeri yang maju dan makmur. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan