suria

Kompleks Baru Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan UPM Dan Pusat Pengimejan Diagnostik Nuklear UPM Dirasmikan

SERDANG: Kompleks Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan (FPSK) bernilai RM202 juta dan Pusat Pengimejan Diagnostik Nuklear (PPDN) Universiti Putra Malaysia (UPM) bernilai RM17.5 juta dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, hari ini.

FPSK siap dibina pada Mac 2006. PPDN memulakan perkhidmatan pada 1 April lalu.

Fakulti telah beroperasi menggunakan kompleks tersebut yang merangkumi fakulti dan asrama pelajar Kolej 17, sejak Jun 2006.

Keluasan kasar lantai kawasan fakulti adalah 6.714 hektar. Ia terdiri daripada blok pentadbiran pejabat, bilik pensyarah, blok perpustakaan, dewan kuliah, bilik tutorial, dewan peperiksaan, blok makmal dan kemudahan sokongan pelajar.

Kawasan Kolej 17 mempunyai empat blok yang mampu memuatkan seramai 1,800 pelajar, surau, gerai pelajar, kafeteria, rumah pengetua dan empat rumah felo.

FPSK yang diketuai oleh Dekan Profesor Dr Norlijah Othman mempunyai seramai 606 staf. Mereka terdiri daripada 22 Profesor, 52 Profesor Madya, 125 pensyarah kanan, 28 pensyarah, 40 pensyarah perubatan pelatih, 59 tutor, 25 pengurusan dan profesional dan 255 sokongan.

Bagi program pra-siswazah, FPSK menawarkan enam bidang pengajian manakala bagi program siswazah, sebanyak 16 bidang dalam Sarjana Sains dan Doktor Falsafah serta Sarjana Perubatan Patologi.

Jumlah keseluruhan pelajar di FPSK mengikut pecahan ialah pra-siswazah 1,331 orang manakala siswazah sebanyak 457 orang.

Sementara itu, Pengarah PPDN, Profesor Madya Dr Abdul Jalil Nordin berkata, buat masa ini, PPDN menawarkan perkhidmatan pengimejan Positron Emission Tomography Computed Tomography atau P.E.T. C.T. kepada pelanggan hanya pada setiap Khamis.

Usaha sedang dibuat supaya PPDN dibuka pada setiap hari.

Sehingga Mei lalu, seramai 38 pelanggan dirujuk daripada beberapa hospital kerajaan dan swasta untuk menjalankan P.E.T. C.T. di PPDN.

Artikel Sebelum

UM Bakal Tubuh Galeri Seni

Artikel Lain