suria

Usaha Lahirkan Generasi Muda Yang Arif Perbankan Islam Dan Konvensional

KUALA LUMPUR: Lima puluh penuntut dihantar ke Mesir bagi mengikuti pengajian program Ijazah Kewangan Islam di Universiti Al-Azhar bagi melahirkan generasi muda yang arif dalam sistem perbankan Islam dan konvensional.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata program itu dirangka khusus bagi melahirkan golongan yang arif tentang perbankan Islam dan konvensional mengikut lunas syariah serta sesuai dengan peredaran masa.

"Kumpulan 50 pelajar itu yang merupakan kumpulan perintis apabila tamat pengajian nanti akan ditempatkan di mahkamah syariah bagi mengendalikan kes berkaitan keluarga yang membabitkan kewangan dan harta benda," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Bengkel Eksekutif Kewangan Islam bagi ahli Jawatankuasa Fatwa Seluruh negara di sini Selasa.

Beliau berkata menerusi program itu penuntut terbabit diberi pendedahan dalam bahasa Arab bagi mengkaji hukum mengenai kewangan Islam bersumberkan kitab-kitab lama, serta bahasa Inggeris bagi memudahkan mereka memahami terma perbankan konvensional.

Program itu yang bermula tahun lepas merupakan inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Amanah Raya Berhad, katanya.

Mengenai bengkel itu, Jamil Khir berkata ia bertujuan memberi pendedahan kepada mufti dan ulama berkaitan isu terkini mengenai perbankan dan kewangan Islam.

Beliau berkata ini penting bagi menyiapkan mereka supaya bukan sahaja dapat dirujuk berkaitan hal ehwal agama tetapi juga berkaitan sistem muamalat Islam.

Menerusi bengkel tiga hari itu, peserta didedahkan dengan konsep, operasi dan pelaksanaan sistem kewangan Islam, katanya.

Terdahulu, Jamil Khir melancarkan portal E-Muamalat yang akan menjadi pusat pengumpulan maklumat dan data mengenai hasil kajian muamalat yang mencakupi kewangan Islam, takaful dan pasaran modal Islam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain